Monday, January 25, 2010

PANDANGAN PROF.DR YUSOF QHARDAWI MENGENAI ISU KALIMAH ALLAH DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Seperti PAS dan Pakatan Rakyat, Sheikh al-Islam, Dr. Yusuf al-Quradhawi Jumaat lepas turut mempersoal inisiatif sesetengah pihak di Malaysia yang dilihat berusaha menghalang masyarakat bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah.
“Surah terakhir dalam Al-Quran (yang bermaksud), “Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan untuk sekalian manusia.”
“(Mengapa) bukan (disebut lafaz) Allah bagi masyarakat Muslim atau masyarakat Arab atau; yang Maha Menguasai bagi masyarakat Arab, Tuhan bagi orang Arab (lalu ditanya) ‘mengapa orang Malaysia kebelakangan ini begitu tidak selesa?” dipetik dari laman rasmi al-Quradhawi, http://qaradawi.net.
Berkhutbah Jumaat di Masjid Umar al-Khattab, Doha, beliau berkata, masyarakat Islam dan bukan Islam seharusnya saling menghormati tabiat kepelbagaian beragama dalam masyarakat.
"Perbezaan kepercayaan antara penganut satu-satu agama tidak seharusnya memisahkan (antara) masyarakat bukan Islam dan kami (umat Islam) di dunia ini, tetapi yang memisahkan (antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam adalah) Allah (pada) hari kiamat,” jelasnya lagi.
Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Cendekiawan Fiqh Islam Sedunia (Majmak Fiqh al-Islami al-‘Alami) turut mengutuk beberapa siri pengeboman rumah ibadat bagi penganut agama Kristian di Malaysia sebelum ini.
"Serangan-serangan yang terjadi pada gereja-gereja di Malaysia tidak tepat,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat membuat ketetapan bahawa tidak ada halangan untuk masyarakat bukan Islam untuk menggunakan nama Allah.
Pun begitu, penggunaan kalimah Allah atas tujuan mengelirukan umat Islam atau menghina kesucian mana-mana agama sama sekali tidak dibenarkan.
Manakala, kerajaan serta lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pula sebelum ini dilaporkan membantah masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah.
Menurut mereka yang terbabit, walaupun penganut agama Islam dan Kristian di negara-negara Arab telah lama menggunakan kalimah Allah, namun alasan tersebut tidak sesuai dalam konteks Malaysia.

Sunday, January 24, 2010

BAHAYA KELOMPOK MUNAFIQ MERENTASI ZAMAN

1. Golongan munafiqin adalah musuh Islam dan musuh kepada orang - orang yang beriman . Malah ia juga musuh kepada Gerakan Islam dan ia dikenali sebagai musuh dalam selimut .

2. Ia menjadi musuh kerana sifatnya menjadi gunting dalam lipatan , api dalam sekam , duri dalam daging , talam dua muka , gergaji dua mata dan lidah bercabang dua . Sikapnya penuh kepura - puraan . Ia juga tergolong dari golongan opurtunis yang licik mengambil kesempatan untuk menikam dari arah belakang dan mencetus propaganda dari dalam .

3. Golongan ini menjadi ancaman kepada Gerakan Islam di sepanjang zaman . Nabi saw. pernah bersabda :"
إن أخوف ما أخاف على أمتي كل مناقق عليم اللسان

Sesungguhnya suatu yang paling ditakuti terhadap apa yang aku takut menimpa ummatku ialah semua munafiqin yang petah lidahnya .

Munafiqin petah menatah bicara dan mengemukakan alasan guna mewajarkan apa jua tindakan mereka . Sesekali mereka menampilkan diri melalui perwatakan yang meyakinkan bahawa mereka adalah pejuang yang tulen dan berhak dihormati serta disanjungi . Sedang segalanya adalah palsu dan hipokrit .

Firman Allah swt :
إن المنافقين يخادعون الله وهو خادعهم و إذا قاموا إلى الصلاة قاموا كسالى يراءون الناس و لا يذكرون الله إلا قليلا

Sesungguhnya golongan munafiqin , mereka mahu menipu Allah swt sedang Allah yang memperdayakan mereka dan apabila mereka mendirikan solat , mereka dirikan dalam keadaan malas , mereka menunjuk - nunjuk dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit .

4. Memang sukar untuk mengenali identiti golongan munafiq terutama mereka yang telah duduk sebaris dalam satu saff . Hanya Allah swt yang mengetahui siapakah mereka di tengah - tengah kelompok para pejuang di sebalik kibaran panji perjuangan . Secara zahir , tidak siapa yang dapat membezakannya . Bahasa harakinya sama seperti kita , mereka turut memakai uniform seorang pejuang . Bahkan mereka jua mampu membaca kitab perjuangan kita . Tiada perbedaan antara kita dengan mereka tetapi juga tiada persamaan . Hanya Allah swt jua Tuhan yang Maha Mengetahui di manakah perkara yang tidak sama antara pejuang Ansoorullah dengan petualang Munafiqin .



5. Secara asasnya , Al Quran dan sunnah telah manggariskan ciri - ciri atau kriteria untuk mengenali golongan munafiq ini . Antaranya :

a ] Berpaling dari melaksanakan hukum Allah [ an Nisa' : 60 - 61 ]
b ] Jahat adabnya terhadap Allah dan Rasul saw [ al Munafiqun : 5 / at Taubah : 61 ]
c ] Wala' [ kesetiaan ] mereka kepada musuh Allah swt [ al Hasyar : 11 ] d ] Negatif terhadap jihad [ Aali Imran : 167 ]
e ] Melakukan Mungkar dan menghalang perkara makruf [ at Taubah 67 ]
f ] Matlamat mereka ialah kepentingan mereka bukan redha Allah swt. [ al Hajj 11 ]
g ] Buruk akhlaknya terhadap anggota Gerakan Islam . [ al Ahzab 57 - 58 ]

6. Kepura - puraan mereka telah dijelaskan oleh Al quran dan ianya sangat mengelirukan . Nyata mereka bijak bersandiwara , petah berkata - kata , tajam berhujjah dan pintar membuat helah .

a ] Mereka melafazkan 2 kalimah syahadah [ al Munafiqun 1 ]
b ] Isytihar keiltizaman mereka terhadap Quran dan sunnah [ an Nisa' 81 ]
c ] Mereka juga mengerjakan solat [ an Nisa' 142 ]
d ] Mereka membaca alQuran [ al Bukhari bab Fadhail al Quran ]
e ] Bersedekah dan memberi derma [ at Taubah 54 ]
f ] Turut menghadhiri majlis Ilmu [ Muhammad 16 ]
g ] Membina masjid [ at Taubah 107 ]

7. Menyedari situasi ini , kita tidak boleh memandang ringan akan kehadhiran golongan munafiq . Mereka pada bila - bila masa akan memberi ancaman besar kepada perjuangan yang kita dokongan ini lantaran mereka berkeupayaan menyerang dari dalam secara halus tanpa disedari oleh sesiapa . Langkah berwaspada mesti diambil dan bertindak secara berpasukan adalah kewajipan . Pelihara segala adab berjamaah dan senantiasa bermunajat serta melazimi doa rabitah insyaallah , kita dan jamaah kita akan selamat .

8. Menghalang kewujudan golongan munafiqin ini terlalu sukar sebab terkadang ia lahir dari kalangan kita sendiri yang mewarisi sifat dan sikap mereka . Langkah yang perlu ialah mempertingkatkan proses pembinaan aqidah , fikrah dan syakhsiah disamping mengawal jamaah dari anasir munafiqin ini melalui pemerkasaan amal tarbawi.

9. Perjuangan Islam ini suci dan ia tetap akan dipelihara oleh Allah swt namun perlu ada kesungguhan dari setiap pimpinan dan anggota agar memastikan jamaah ini tidak menjadi sarang golongan munafiqin untuk mereka bermaharajalela melaksanakan agenda mereka .

10. Sudah cukup kejayaan mereka tatkala mereka berjaya menuetralkan semangat perjuangan Islam di kalangan anggotanya . Apa yang mereka mahu ialah melunturkan semangat jihad , mencetus kekeliruan dikalangan pimpinan jamaah , beriman dengan demokrasi dan membunuh konsep syura . Meleraikan ruh kepimpinan ulama' dan mengadu domba agar wujud pertelingkahan dan persengketaan yang panjang dari kalangan anggota dan pimpinan jamaah .

Wednesday, January 6, 2010

LONDON: Pakar astronomi mendedahkan semalam yang sebutir bintang dijangka meletup begitu kuat hingga dapat memusnahkan bumi.
Ia akan musnah sendiri dalam letupan yang dikenali sebagai supernova dengan kekuatan yang sama dengan 20 bilion bilion bilion mega tan bahan letupan. Kajian terbaru menunjukkan bintang itu, T Pyxidis, berada lebih dekat dengan jangkaan sebelum ini, 3,260 tahun cahaya, satu lompatan pendek dalam kiraan galaksi.

Kesan letupan termonuklear itu boleh memusnahkan lapisan ozon bumi yang menjadi penghalang radiasi berbahaya. Jika keadaan itu berlaku, kehidupan di bumi akan rentung.

Senario hari kiamat itu didedahkan semalam oleh pakar astronomi dari Universiti Villanova di Philadelphia, Amerika Syarikat. Mereka berkata, satelit penjelajah ultraviolet antarabangsa menunjukkan kepada mereka bahawa T Pyxidis sebenarnya terdiri daripada dua bintang, satu digelar kenit putih yang menyedut gas dan semakin membesar. Apabila mencapai berat kritikal, ia akan meletup sendiri. Ia akan bercahaya seperti semua bintang lain dalam galaksi yang disatukan.

Pakar berkata, teleskop angkasa lepas Hubble merakamkan gambar bintang itu dengan beberapa siri letupan kecil yang dipanggil novas.

Letupan itu sering berlaku setiap 20 tahun bermula pada 1890 tetapi terhenti selepas 1967.

Ini bermakna letupan untuk 20 tahun berikutnya sudah tertangguh, kata saintis, Edward M Sion, Patrick Godon dan Timothy McClain dari Perstuan Astronomi di Washington.

Saturday, January 2, 2010

KEPADA ORANG YANG SERING BERKATA-KATA/BLOGER/PENULIS

Sepanjang kita berkata-kata dan menulis, tahukah kita bahawa perkataan/qaulan : Al Qur'an menurunkan kepada kita antara lain seperti berikut ;

1. Qaulan Sadiidan : perkataan yang benar/words of appropriate (comfort)

2. Qaulan Baliigha: perkataan yang berbekas pada jiwa /word to reach very souls

3. Qaulan Kariima : perkataan yang mulia/reverent speech

4. Qaulan Maisuraa : ucapan yang ringan/gentle speech

5. Qaulan 'Aziima : kata-kata yang buruk/a dreadful saying

6. Qaulan Layyinan : kata-kata yang lemah lembut/mild manner

7. Qaulan Ma'ruufan : perkataan yang baik/speak in a kindly way

8. Ahsanu Qaulan : kata-kata terbaik/better in speech

9. QaulanTsaqiilan : amanah yang berat/weighty Message

Ada istilah lain dipakai Al-Qur'an. Qaulan ma'rufaan muncul empat kali. Qaulan sadiidan dua kali. Kata-KATA positif adalah anjuran Al Qur'an.
Kata-kata - datang dari pemikiran kita. Pemikiran positif meluncurkan kata-kata positif. Kata-kata positif menggerakkan manusia. Kata-kata negatif, selepas tidak berkesannya kata-kata positif, untuk tujuan-tujuan tertentu yang terpilih.
Negatif ketika memberikan amaran. Positif dalam banyak urusan.
Negatif atau positif - kebenaran asas ukuran. Tidak yang lain, melainkan kebenaran. Pedas, manis, pahit dan apa jua rasa.

Wednesday, December 16, 2009

BARAH ISLAMPHOBIA SEMAKIN PARAH DI EROPAH..?

Selepas rakyat Switzerland mengundi untuk mengharamkan pembinaan menara masjid di negara Eropah itu, sentimen Islamofobia di negara-negara lain di Eropah mula menunjukkan wajahnya.

Undi sebanyak 57 peratus menyokong pengharaman pembinaan menara masjid di Switzerland itu memberi gambaran perasaan rakyat negara Eropah yang terkenal dengan sikap berkecuali dan tempat lahir badan Palang Merah antarabangsa.

Sikap ini mungkin sesuatu yang baharu, tetapi boleh juga merupakan manifestasi apa yang sedia dirasakan selama ini, dan hanya terzahir apabila digerakkan oleh sekumpulan ahli politik berhaluan kanan.

Dua parti politik berhaluan kanan yang membawa isu ini untuk diundi menggelar menara masjid sebagai simbol agenda politik Islam, berdasarkan aliran fahaman yang melihat Islam dan orang Muslim sentiasa mempunyai agenda politik untuk mendominasi, dan fahaman bahawa Islam menafikan hak-hak orang lain.

Malangnya, isu ini tidak mendapat respons meluas dalam kalangan negara Islam, ketika Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang ditubuhkan dengan tujuan membela umat mencapai usia 40 tahun.

Belumpun reda isu di Switzerland itu, pengharaman itu dan semangatnya mendapat sambutan dalam kalangan lain di negara Eropah sekitarnya. Geert Wilders, ahli politik anti-Islam di Belanda menyambut tindakan itu, dan dilapor berkata, "Apa yang boleh dilakukan di Switzerland, boleh dilakukan di sini."

Dunia Islam sebelum ini dikejutkan oleh Wilders yang terlibat dalam pembikinan filem anti-Islam berjudul Fitna, yang memfitnah Islam dengan pelbagai tohmahan tidak berasas. Wilders tidak berhenti dengan filem Fitna dan sedang meneruskan agenda anti-Islamnya.

Sebelum undi mengharamkan menara masjid dilaksanakan, kumpulan anti-Islam di Inggeris berkumpul melakukan protes menentang apa yang dilihat "proses Islamisasi" Eropah.

Selepas undi di Switzerland, kumpulan ini yang diketuai Liga Pertahanan Inggeris dan Hentikan Islamisasi Eropah mendapat suntikan semangat baharu untuk meneruskan kempennya.

Protes kali kedua - selepas yang pertama dua bulan lalu - kali ini menyifatkan menara masjid sebagai simbol dominasi Islam dalam masyarakat Kristian yang sekular.

Protes yang sama berlaku di Jerman sejak beberapa tahun lalu, menyaksikan ahli dan penyokong kumpulan berhaluan kanan menentang pembinaan masjid. Kumpulan-kumpulan ini turut terkesan dan pada masa sama memberi kesan kepada apa yang berlaku di seluruh Eropah.

Konservatif di Jerman bersuara menggesa Muslim negara itu "berpada-pada" dalam membina masjid, walaupun mereka mempunyai hak membinanya.

Selepas lapan tahun "ancaman Islam" dijadikan tema politik dunia ekoran serangan 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, kesannya semakin mudah untuk dilihat di seluruh dunia.

Di Belanda, Switzerland, Inggeris dan Jerman, Islamofobia menunjukkan wajahnya, dan mendapat sokongan ramai rakyat negara itu.

Apa yang berlaku ini menunjukkan siapa sebenarnya yang tertutup, sukar untuk menerima kepelbagaian dan realiti globalisasi, tuduhan yang mudah dikaitkan dengan orang Muslim.

Perdebatan mengenai hak dan demokrasi menjadi lebih sukar dengan perkembangan ini, terutama sekiranya Eropah yang kuat menjajanya di peringkat antarabangsa (termasuk menjadikannya sebagai syarat kemasukan Turki ke dalam Kesatuan Eropah) gagal menangani gejala ini di wilayahnya sendiri.

Saturday, December 12, 2009

MALAYSIA NEGARA SUMPAHAN MINYAK???

Mantan menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Malaysia sebagai negara 'sumpahan minyak' di mana kekayaan hasil buminya itu tidak digunakan untuk tujuan asal penubuhan Petronas, tetapi menjadi madat dan simbol kosong seperti Menara Petronas.

"Bila saya mengasaskan Petronas pada 1974, saya tidak menyangka bahawa suatu hari nanti, saya merasakan lebih baik kita tidak menemui kekayaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, anugerah minyak itu yang sepatutnya digunakan untuk memacu peralihan negara kepada masyarakat yang lebih terpelajar dan berhati mulia, sebaliknya telah menjadi madat yang memberi kesenangan sementara dan simbol kosong seperti Menara Petronas.

Tengku Razaleigh - bekas naib presiden Umno yang hampir menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden 20 tahun lalu - merupakan antara pengasas penubuhan Petronas pada tahun 70-an.

Menurutnya, Malaysia kini terjebak dalam perangkap pendapatan pertengahan, "tersangkut dalam pertumbuhan mudah dari pengeluaran tambah nilai yang rendah dan pemasangan komponen dan tidak mampu membuat lonjakan kepada ekonomi berintensifkan pengetahuan.

Katanya, tujuan awal penggunaan simpanan minyak Malaysia ialah untuk membantu negara melonjak daripada ekonomi yang berasaskan komoditi dan pemasangan kos rendah, kepada ekonomi yang lebih dipelbagaikan yang berasaskan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Kita melihat simpanan minyak kita sebagai satu kurniaan kekayaan yang akan menghasilkan wang untuk tujuan pemodenan dan teknologi," katanya ketika berucap di sidang kemuncak ahli korporat muda Malaysia di Menara Integriti, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, katanya, berbilion-bilion ringgit hasil eksport minyak sejak tiga dekad yang lalu, telah dibazirkan oleh kerajaan.

Menurutnya, hasil minyak negara yang sepatutnya digunakan mengikut yang telah dirancangkan sewaktu penubuhan Petronas, telah menjadi dana yang dibelanjakan sesuka hati oleh sesiapa juga yang mentadbir negara, tanpa sebarang pertanggungjawaban.

Buku bertajuk "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Time', yang dilancarkan baru-baru ini, menganggarkan kira-kira RM100 bilion telah dibazirkan dalam skandal kewangan sewaktu 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir.

Pengarangnya, Barry Wain yang juga bekas editor Asian Wall Street Journal, menulis bahawa sebahagian besar skandal itu, termasuk percubaan kerajaan untuk memanipulasi harta timah antarabangsa dan pembabitan Bank Negara dalam pasaran matawang global, pada tahun 1980-an.

Bagaimanapun, ada sesetengah penganalisa yang menyebutkan jumlahnya lebih tinggi daripada itu.

Malahah Time memetik Daniel Lian - seorang pakar ekonomi dari Morgan Stanly di Singapura sebagai berkata, Malaysia mungkin telah kehilangan "sehingga AS$100 bilion" (RM340 juta) sewaktu pentadbiran Dr Mahathir.

Petronas menyumbangkan 40 peratus daripada bajet negara sejak bertahun-tahun lalu tetapi penggantungan terhadap perolehan hasil minyak semakin tidak dapat dipertahankan lagi.

Kerajaan akan memperluaskan lagi asas cukai dengan memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) di mana semua rakyat Malaysia dikehendaki membayar cukai tambahan di samping cukai pendapatan.

Tengku Razaleigh berkata, kekayaan minyak negara telah dibazirkan dan digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang gagal, membeli senjata, membina bandaraya secara besar-besaran di atas tapak ladang kelapa sawit.

Perolehan tersebut, katanya, tidak digunakan untuk membasmi kemiskinan di negeri-negeri yang miskin, tetapi disalurkan untuk tujuan politik dan golongan yang ada kaitan dengan politik.

Katanya, hasil minyak yang sepatutnya menjadi warisan kekayaan untuk semua rakyat Malaysia dan generasi akan datang, telah digunakan untuk menunjangi pemerintahan yang 'authoritarian, menghakis demokrasi berpelembagaan dan korup keseluruhan golongan elit politik dan perniagaan.

sumber : malaysiakini

Monday, December 7, 2009

BOLEH KE KITA TIDAK BERMAZHAB?

Pada zaman wujudnya ulama terdahulu, perkara sebegini tidaklah menjadi masalah. Malah para sahabat baginda sallallahu alaihi wasallam yang tidak sampai ilmunya ke tahap ijtihad maka mereka juga mengikut para sahabat yang lain yang sampai ke tahap tersebut tanpa berlaku perbalahan. Tetapi yang menjadi keajaiban bagi kita pada zaman yang penuh dengan kekurangan ilmu pengetahuan walaupun hebat dan canggih dalam teknologi, boleh timbul permasalahan sebegini. Mengapa boleh berlaku sebegini? Jawapannya mudah, kerana sudah tidak yakin dengan para ulama terdahulu dan merasakan diri sudah layak sebaris dengan para ulama mujtahid.Malah dipandang rendah kepada golongan yang bertaqlid kepada sesuatu mazhab.

Sebelum melangkah lebih jauh, sebaiknya kita terangkan apakah yang dimaksudkan dengan taqlid. Taqlid menurut ahli bahasa ialah ikatan yang diikat pada tengkuk. Manakala menurut istilah para ulama Usul Fiqh , terdapat dua maksud padanya:

Pertama: Taqlid ialah beramal dengan pendapat seseorang dengan keadaan pendapat tersebut tidak dibinakan di atas hujah-hujah yang diletakkan oleh syarak. Ini tidaklah dibenarkan oleh syarak untuk mengikutinya.

Kedua: Taqlid ialah beramal dengan pendapat ulama mujtahid tanpa kita mengetahui sumber pengambilan dalilnya secara lengkap dan terperinci. Ini sangat-sangat dituntut oleh syarak malah diwajibkan kepada sesiapa yang tidak mampu untuk mencari semua dalil.
Menurut Syeikh al-Allamah Ali Jumaah hafizahullah di dalam kitabnya البيان : Apa yang kita maksudkan dengan ((tanpa mengetahui sumber pengambilan secara lengkap dan terperinci)) ialah mengetahui cara-cara untuk mengeluarkan (mengistinbatkan) secara jelas hukum-hakam tersebut seperti yang dilakukan oleh mujtahid.

Siapakah mujtahid? Apakah syarat-syarat untuk meletakkan seseorang tersebut sebagai mujtahid. Di antara syarat-syarat mujtahid ialah:

1. Mengetahui secara terperinci hukum-hakam fiqhiyyah sama ada hukum-hakam yang telah diterangkan di dalam kitab-kitab fiqh, mengetahui dalil-dalilnya seperti yang diterangkan di dalam kitab usul fiqh, mengetahui juga tentang khilaf(perbezaan pendapat) yang berlaku di dalam masalah furu’(cabang ilmu) di antara para sahabat atau tabi’en dan mengetahui juga berkenaan dengan pendapat yang dipegang di dalam mazhab.

2. Seorang mujtahid perlu menguasai dan memiliki perkara-perkara yang diperlukan untuk mengeluarkan hukum. Al-Imam Ibn Qawan al-Syafie rahimahullah (889H) menyebutkan di dalam kitabnya التحقيقات في شرح الورقات : Antara perkara yang perlu dikuasai oleh seorang mujtahid ialah ilmu nahu(tatabahasa arab),ilmu bahasa arab(makna bagi sesuatu bahasa) , termasuk ilmu balaghah (bayan, badi’e dan ma’ani). Al-Imam al-Syatibi rahimahullah lebih berat di dalam meletakkan syarat-syarat sebegini.Menurutnya, seseorang mujtahid tersebut perlulah menguasai ilmu nahu seumpama Sibawaih (ulama yang pakar dalam ilmu nahu suatu ketika dahulu) dan mengetahui tentang khilaf ulama seumpama al-Imam Syafie radhiyallahu anhu. Jika kita ingin mengikut pendapat yang disebutkan oleh al-Imam Syatibi rahimahullah maka sudah tentu amat sukar untuk kita temui mujtahid pada masa sekarang.

3. Seorang mujtahid juga perlu menguasai ilmu Rijal(ilmu tentang perawi hadis). Maksudnya mengetahui martabat seorang perawi tersebut sama ada boleh digunakan untuk berhujah atau tidak. Menurut Imam Ibn Qawan rahimahullah, jika seseorang tersebut hanya berpandukan tentang sahih atau tidak sesebuah hadis tersebut berdasarkan apa yang ditetapkan oleh al-Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain ulama hadis maka ia juga dikira bertaqlid kepada para imam tersebut. Sedangkan para mujtahid dilarang mengikut pendapat orang lain di dalam masalah ini. Jadi perlulah mereka juga untuk menguasai ilmu ini dengan mengkaji sendiri masalah tersebut.

4. Mestilah seorang mujtahid tersebut menguasai ilmu berkenaan tafsir al-Quran dan ilmu-ilmu berkaitan dengannya. Seperti mengetahui tentang Nasikh dan Mansukh, Mantuq dan Mafhum, Khas dan Am , Mubayyan dan Mujmal, Muqayyad dan Mutlaq. Mereka juga perlu menguasai ilmu asbab nuzul (sebab penurunan ayat) dan asbab wurud (sebab dilafazkan hadis).
Jika kita perhatikan syarat-syarat mujtahid yang diletakkan oleh para ulama, maka tentu kita boleh berfikir dengan waras dan menilai kemampuan diri kita sendiri. Menurut Syeikh al-Allamah Atiyyah Saqr rahimahullah, jika seseorang tersebut mampu untuk mencari dan mengeluarkan dalil dengan sendiri (berdasarkan syarat yang telah diletakkan) maka tidak perlulah baginya untuk mengikut mana-mana mazhab. Malah haram baginya mengikut mazhab yang lain.

Persoalannya, adakah kita telah sampai tahap tersebut? Jika telah sampai seperti yang diperolehi oleh al-Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad Bin Hambal , Abu Thaur, Sufyan al-Thauri, Sufyan bin Uyaynah, Daud al-Zhohiri, al-Auza’ie dan lain-lain maka silakan untuk berijtihad. Saya bukan mencabar, cuma mohon untuk menilai kemampuan diri kita. Ini kerana terlalu banyak orang yang mengaku tidak perlu untuk mengikut mazhab hanya kerana mendengar perkataan sebahagian guru-guru mereka yang belajar tanpa manhaj supaya tidak perlu mengikut mazhab dan boleh untuk berijtihad dengan hanya mempelajari kitab Subulussalam.Pelik kan? Tapi inilah hakikatnya sekarang bilamana seorang tersebut merasakan dirinya sudah sampai ke peringkat yang tertinggi.

Syeikh al-Allamah Ali Jumaah hafizahullah ada menyebutkan beberapa tohmahan yang diberikan oleh golongan yang tidak mahu bermazhab.Antaranya ialah:

TOHMAHAN PERTAMA

Dalil yang wajib kita ikuti ialah al-Quran dan Sunnah bukannya pendapat para ulama mazhab.

JAWAPAN

Apa yang disebutkan oleh golongan sebegini juga sebenarnya sudah menyalahi maksud sebenar dalil. Dalil bukanlah hanya semata-mata al-Quran dan Sunnah.

Ijma’, Qiyas, Istihsan, Uruf, dan lain-lain juga merupakan dalil yang digunakan oleh para ulama.Golongan yang memahami bahawa dalil hanyalah al-Quran dan Sunnah sebenarnya telah menyempitkan kefahaman tentang dalil itu sendiri. Al-Quran dan Sunnah adalah sumber pengambilan hukum yang dilakukan oleh seseorang mujtahid tersebut.

Pendapat para ulama mazhab pula bukanlah menyalahi dan membelakangi al-Quran dan Sunnah itu sendiri, malah pendapat yang dikeluarkan oleh mereka merupakan hasil daripada kefahaman mereka tentang sesuatu ayat dan hadis tersebut. Berpegang dengan pendapat para ulama mazhab bukanlah bermaksud meninggalkan kalam Allah dan RasulNya, bahkan jika kita berpegang dengan pendapat para ulama mazhab maka secara langsung kita telah berpegang dengan al-Quran dan Sunnah. Ini kerana para ulama mazhab lebih mengetahui tentang syarat pengambilan hukum dan sebagainya berbanding kita.(saya cuma mengambil secara ringkas pendapat yang disebutkan oleh Syeikhuna Ali Jumaah hafizahullah. Pendapat yang saya letakkan disini rasanya sudah mencukupi bagi sesiapa yang mencari kebenaran.Jika ingin mengetahui kedudukan mujtahid maka perlulah melihat semula syarat-syarat mujtahid yang telah saya letakkan sebelum ini).

TOHMAHAN KEDUA

Kami melihat seseorang yang bertaqlid kepada seorang imam tersebut tidak akan meninggalkan mazhabnya walaupun dia menjumpai sebuah hadis yang bersalahan dengan pendapat imam tersebut. Ini seolah-olah mendahului pendapat imam lebih daripada Allah dan RasulNya.


JAWAPAN

Al-Imam Kairanawi rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya فو ائد في علوم الفقه :
“Pendapat sebegini keluar berdasarkan sangkaan kamu yang salah dan pegangan yang batil(iaitu mengatakan bahawa pendapat imam didahulukan berbanding kalam Allah dan RasulNya).Sedangkan perkara sebenar bukanlah seperti yang kamu fikirkan.

Bilamana kita melihat berlakunya perbezaan di antara zahir kalam Allah dan RasulNya dengan pendapat Ulama Mazhab , dua perkara pokok yang penting perlu diperhatikan:

Pertama: Kita mengetahui tentang maksud sebenar kalam Allah dan RasulNya.

Kedua: Kita mengetahui bahawa Kalam Allah dan RasulNya bertentang dengan pendapat Imam Mazhab.

Jika kita memerhatikan kedua-dua perkara di atas dengan teliti maka kita menyedari bahawa kedua-dua perkara tersebut tidak terdapat pada seorang Muqallid(orang yang mengikut mazhab dan tidak sampai kepada tahap mujtahid).Ini kerana ilmu sebegini memerlukan kepada pencarian dalil. Muqallid hakikatnya tidak mampu untuk melakukan sedemikian. Jika hakikatnya sedemikian, bagaimana mungkin seorang muqallid tersebut boleh menghukumkan bahawa Imamnya telah menyalahi hukumyang diletakkan Allah dan RasulNya?.

Hasil perbincangan ini ialah: Seorang muqallid tersebut tidak meninggalkan pendapat imamnya yang bersalahan dengan zahir Hadis dan sebagainya bukanlah kerana dia (muqallid) mengatakan bahawa pendapat Imam tersebut lebih benar daripada Kalam Allah dan RasulNya(tiada seorang ulama pun mengatakan sedemikian) bahkan hanyalah kerana dia sendiri tidak pasti adakah benar-benar Imam tersebut menyalahi Allah dan RasulNya( mustahil seorang Imam tersebut mengeluarkan sesuatu hukum dengan hawa nafsunya, melainkan setelah kajian terperinci dan syarat seorang mujtahid tersebut telah dipenuhi olehnya, barulah seorang Imam tersebut mengeluarkan pendapatnya).

TOHMAHAN KETIGA

Mengikut pendapat para ulama mazhab sendiri sebenarnya telah menyalahi apa yang ditunjukkan oleh mereka(Imam-imam mazhab).Mereka sendiri melarang mengikut pendapat mereka.Lebih-lebih lagi jika pendapat mereka bersalahan dengan hadis sahih.Jelas di sebut oleh para ulama Mazhab: إذا صح الحديث فهو مذهبي maksudnya: (Jika sah sesebuah hadis tersebut maka itulah mazhabku)

JAWAPAN

Kata Syeikhuna Ali Jumaah hafizahullah: Dakwaan yang mengatakan bahawa para ulama mazhab melarang untuk mengikut mazhab adalah satu dakwaan yang ternyata salah dan sesat. Tiada seorang ulama mazhab pun mengatakan sedemikian. Kalau mereka benar-benar mengatakan demikian, maka mengikut kepada pendapat Para Imam (supaya tidak bertaqlid dengan mereka) juga hakikatnya adalah taqlid itu sendiri( dalam keadaan tidak sedar).

Kamu mengatakan tidak boleh mengikut pendapat Imam Mazhab,tiba-tiba kamu mengikut juga salah satu pendapat mereka (iaitu supaya tidak bertaqlid-seperti yang kamu katakan) maka hakikatnya kamu juga bertaqlid.Bagaimana boleh dilarang taqlid sedangkan kamu sendiri bertaqlid dalam keadaan kamu tidak sedar?

Ini jelas berlaku pertentangan di dalam pendapat kamu sendiri.(Sekejap mengatakan tidak boleh taqlid kemudian dalam masa yang sama kamu juga bertaqlid dengan pendapat Imam tersebut).
Kalaulah benar sekalipun dakwaan tersebut, maka sebenarnya larangan tersebut ditujukan kepada orang-orang yang telah sampai kepada peringkat ahli di dalam ijtihad(memenuhi syarat yang saya sebutkan sebelum ini).

Berkenaan adakah boleh berpindah-pindah mazhab akan saya jawab pada keluaran akan datang. Diharap bersabar menantikan jawapannya.

Rujukan:

1. البيان لما يشغل الأذهان oleh Syeik Prof. Dr Ali Jumaah Hafizahullah (Mufti Mesir)

2. التحقيقات في شرح الورقات oleh Al-Imam Hussain bin Ahmad al-Kailani al-Syafie al-Makki (Ibn Qawan ) Rahimahullah. Cetakan Darul Nafa’is.