Monday, November 16, 2009

MSD cuba gagalkan Program mahasiswa di Mesir dipersoal!


Tindakan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Kaherah cuba menggagalkan program pembacaan hadis Sahih Bukhari anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang sepatutnya berlangsung di Pusat Persidangan Al-Azhar (ACC) bulan lalu dianggap tidak professional dan ‘ada udang di sebalik batu’

Pengarah MSD Kaherah, Prof Dr Jamil Hashim telah menghantar surat kepada Syeikhul Al-Azhar meminta program itu dibatalkan pada saat-saat akhir.
Apa yang paling malang, alasan yang digunakan oleh pihak MSD ialah PMRAM adalah ejen parti pembangkang di Malaysia. Program itu dijadual diadakan pada 16 hingga 19 Oktober di pusat tersebut yang mampu menampung sekitar 700 peserta.

Ekoran itu, program itu terpaksa dipindahkan ke Tingkat 5, Dewan Rumah Johor di Kaherah yang hanya mampu menampung sekitar 300 peserta yang antaranya terpaksa mengikut program itu di tangga dan kaki lima bangunan tersebut.

Akibatnya Majlis perasmian program tersebut yang akan disempurnakan oleh Mufti Mesir, Syeikh Prof. Dr Ali Jumuah, malangnya terpaksa diadakan di sebuah gelanggang bola keranjang disitu.

Selain mufti Mesir, antara ulama hadis yang dijemput berucap ialah Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Jamal Farouk, Syeikh toha Dusuqi Hubaisy, Syeikh Dr Yusri Rushdi Saiyyid al Hassani, syaikh Ahmad Hajain, Syeikh Dr Da'ad Jarwish, Syeikh Asyraf Imam Masjid 6 Oktober dan Syeikh Usamah Mahmud al Azhari.

Tindakan MSD itu dianggap sebagai taktik usang dan keterlaluan untuk memberi imej buruk dan tekanan kepada PMRAM agar tidak berfungsi sebagai sebuah badan kebajikan mahasiswa dengan baik dan berkesan.

Apa hak MSD untuk menganggu aktiviti PMRAM sedangkan ia sebuah badan kebajikan yang sah berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir.
Berikutan tindakan MSD itu, mahasiswa Universiti Al Azhar telah menubuhkan jawatankuasa khas, DESAK, untuk menuntut MSD memohon maaf secara terbuka dan kembali membersihkan nama baik PMRAM.

Mereka juga menuntut supaya Prof Dr Jamil dipanggil balik dan ditukar kerana didakwa gagal memainkan peranannya sebagai pengarah MSD yang sepatutnya membantu mahasiswa danbukannya "menghalang mereka menuntut ilmu".

Prof Dr Jamil sepatutnya diberi amaran keras oleh pihak kerajaan agar ia menjalankan tugas sebagai pengarah MSD dengan penuh dedikasi tanpa menyusahkan mahasiswa dengan agenda dan tanggapan jahat mereka terhadap mahasiswa.

Menuduh PMRAM sebagai ejen parti pembangkang bukan sahaja berniat jahat tetapi juga menggangu emosi mahasiswa di Mesir. Bahkan ia bukan perkara baru kerana sejak 1991, PMRAM sering diganggu oleh MSD dengan dituduh sebagai ejen pembangkang tanpa sebarang bukti.

1 comment:

  1. Al Quds Travel Welcome You :-

    "FIESTA ALQUDS TRAVEL FAIR"
    Date : 10,11,12 December 2009
    Time : 10.30 am - 10.00 pm
    Venue : Ruang Legar KB Mall K.Bharu
    Organizer : Al Quds Travel Sdn Bhd
    Tel No : 609-747 9999

    ReplyDelete