Tuesday, April 27, 2010

MALAYSIA KE ARAH NEGARA POLIS???

Peristiwa polis menembak mati pelajar 15 tahun sangat mengejutkan. Ia adalah rentetan perbicaraan terbuka rakyat terhadap pasukan keselamatan negara di bawah Musa Hasan.

Sepanjang perkhidmatan Musa Hasan sebagai ketua Polis negara terlalu banyak kes melibatkan kematian di tangan polis. Siapa yang bersalah masih tiada jawapan.

Kes terbaru melibatkan pelajar 15 tahun sangat mengejutkan. Ia mengejutkan kerana pelajar itu tidak memiliki senjata api. Ia di bawah umur.

Tiada bukti selain dakwaan anggota polis pelajar tersebut menyerang. Jika betul serangan dengan senjata parang, mengapa perlu ditembak hingga mati sedangkan dari laporan , anggota polis terbabit melebihi dua orang.

Atas apa alasan sekalipun, pembunuhan pelajar bawah umur tanpa senjata api sangat memilukan. Berbagai persoalan timbul, apakah pelajar terbabit memiliki kes jenayah sebelum ini hingga satu tindakan kejam begitu dilakukan?

Apakah tiada cara lain selain menembak? Apakah polis yang cekap tidak mampu menangani pelajar 15 tahun yang hanya dikatakan bersenjata parang panjang?

Lebih menimbulkan persoalan ialah dakwaan rakan pelajar terbabit bahawa pihak polis telah menembak kereta mereka ketika memotong MPV polis. Rakan pelajar terbabit mendakwa polis membelasahnya beramai ramai dan beliau sempat lari.

Sebagai rakyat Malaysia, tentunya kita amat sedih dengan apa berlaku. Lebih memilukan ia berlaku terhadap seorang pelajar melayu di bawah umur. Tindakan kenyataan pihak polis ketika siasatan masih dijalankan juga suatu tindakan diluar peraturan.

Kita amat berharap agar siasatan yang telus dijalankan serta memberi keadilan . Jangan ada usaha menutup kesalahan terutama pihak polis. Jika rakyat meragui siasatan tersebut, kesannya amat besar.

Hilang kepercayaan kepada pihak polis akan menyebabkan kesan yang serius. Kita adalah negara yang mempunyai undang undang dan BUKAN NEGARA POLIS!


* Tulisan di atas adalah BUKAN pandangan peribadi penulis dan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

APCO hantar perisik sejak 2002 lagi?!

BIASANYA Dr. Mahathir tidak diam atas apa saja isu semasa di negara ini. Jika dia tidak ditanya oleh wartawan atas sesuatu isu, dia sendiri akan menyatakan pendiriannya dalam laman webnya.

Tetapi saya tidak sedar ada komennya dalam pengambilan syarikat Yahudi APCO Worldwide sebagai juru rinding Malaysia untuk diterima baik Amerika seperti yang dibongkar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen awal April ini.

Perdana Menteri Najib memanglah diam saja atas apa jua dakwaan orang dalam hal-hal yang dituju kepadanya seperti isu APCO ini. Tetapi Dr. Mahathir pantang ada isu yang menyentuh negara, dia akan bangkit. Tetapi dalam isu APCO bertapak di Malaysia ini, dia membisu.

Mengapa?

Tentu dia ada peranan utama dalam menggalakkan agen Israil datang ke sini. APCO sudah mendapat kontrak menasihatkan Malaysia bagaimana hendak disukai oleh Amerika sebaik Najib berkuasa tahun 2008.

Hujung tahun 90an dan awal tahun 2000 Najib sedar tentang imej Dr. Mahathir dipandang buruk oleh Amerika berhubung penindasannya terhadap Anwar. Dunia termasuk Amerika merasakan apa yang dilakukan terhadap Anwar oleh Dr. Mahathir dan kerajaannya adalah menzaliminya.

Hatta Presiden Clinton tidak hadir dalam sidang kemuncak Apec di Kuala Lumpur sedang Presiden Amerika tidak pernah tiada dalam setiap puncak Apec. Bahkan Naib Presiden Algore yang menggantikan Presiden Clinton dalam sidang Apec itu telah melaungkan R E F O R M A S I di hujung ucapannya di sidang itu.

Macam-macam usaha Dr. Mahathir untuk menjustifikasikan tindakannya tidak dipedulikan baik oleh pentadbiran Clinton mahu pun pentadbiran Bush yang menggantikannya. Memang Mahathir bernafsu untuk menemui Bush apabila dia masuk ke Rumah Putih. Bush tidak melayan hasratnya.

Ada pandangan mengatakan Dr. Mahathir sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan peluang menjengok Bush di Rumah Putih.

Maka dipercayai masa inilah jarum perisik Israil masuk menawarkan nasihatnya bagaimana Malaysia boleh mendapat layanan dari Amerika. PDRM ada program besar mengenai sistem mengkumputerkan perkhidmatannya. Ia diswastakan kepada Sapura tetapi Asiasoft berjaya menjadi subkontraknya tahun 2002. Syarikat kepentingan Israil itu dapat menyusup ke tengan nadi polis kita.

Mahathir masih Perdana Menteri. Pada masanya agen Israil masuk dalam nasi keselamatan negara. Dia mesti bertanggungjawab atas angkara itu.

Najib sedar tentang payahnya Mahathir untuk mendekati Amerika kerana pada penindasan terhadap Anwar tidak adil tentang hak asasi manusia. Dan Najib pula banyak masalah. Dia cuba dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya dan membenarkan komisyen stengah bilion atas pembelian kapalselam Perancis dan pesawat pejuang Rusia. Hal-hal ini Amerika getik.

Bagaimana supaya Amerika tidak getik. Dia perlukan juru runding supaya dapat memenangi hati Amerika. APCO, kompeni kepentingan Israil berpengkalan di Amerika menawarkan khidmat rundingan bagi memenangi hati Amerika. Kontraknya 77 juta.

Isu APCO hanya terbongkar tiga minggu lalu. Ia tambahan kepada agen Yahudi Asiasoft di hujung pentadbiran Dr. Mahathir dan sepanjang pentadbiran Abdullah Badawi. Sedang Najib menyambung angkara peninggalan era Dr. Mahathir dulu.

Negara-negara di dunia tidak perlu berbelanja besar dan tidak memerlukan juru runding asing untuk mendekati Amerika. Amerika sendiri akan datang mencari semua negara dan kerajaan di dunia bagi menawarkan pengaruhnya.

Yang tidak berbaik dengan Amerika Cuba, Libya, Korea Utara, Venezula, Iraq di bawah Saddam dulu, Iran dan lain-lain bukanlah kerana Amerika tidak cuba mendapatkan hubungan baik dengannya tetapi negara-negara itu tidak suka kepada dasar kolonialisma Amerika.

Macam-macam pentadbiran Truman, pentadbiran Eisenhower dan Kennedy buat untuk memenangi hati Sukarno tetapi Sukarno tidak mahu menjadi pak turut kepada Amerika. Sukarno tidak mengupah sesiapa untuk mendekati Amerika tetapi Amerika pula yang menggunakan siapa saja untuk memikat Sukarno.

Sukarno sekadar berbaik dengan Soviet Union dan rajin ke Beijing menemui Mao Zedung, maka Amerika datang menawarkan bermacam-macam supaya Sukarno lebih rapat dengannya.

Tidaklah sukar Dr. Mahathir dn Najib untuk bertemu Presiden Amerika. Mahathir sukar berjumpa Bush. Bukankah Mahathir pernah menempelak Yahudi. Tiba-tiba Bush yang sukar ditemuinya dulu datang bercakap dengan Dr. Mahathir dalam sidang ketua-ketua kerajaan di Bangkok.

Tidak perlu Najib bayar 77 juta kepada APCO untuk jumpa Presiden Barrak Obama. Berbaik dengan Sudan, Hamas dan Iran, maka Obama pun berusaha mendekati Najib.


Bukan kerana lobi APCO Najib dijemput oleh Obama ke Washington. Presiden Arroya Macapagal tidak menggunakan APCO dan tidak berbelanja besar dijemput juga ke Washington oleh Obama. Amerika mahu supaya jangan berbaik dengan Iran dan Hamas. Najib dijemput ke Washington dalam sidang puncak mengenai neuklear ialah supaya Najib setuju mengepong Iran yang hendak dikenakan tindakan oleh Amerika.

Kita rasa Mahathir pintar dan Najib juga pintar. Mahathir kecam Yahudi di PBB dan Mahathir anjurkan tribunal Kuala Lumpur untuk menghukum kekejaman Israil di Palestin. Tetapi ternyata Yahudi lebih pintar. Ditawarkan khidmat rundingan Asiasof dan APCO kononnya membantu Malaysia supaya disukai Amerika.

Dia bukan sekadar dapat masuk ke tengah pentadbiran dan kuasa di Kuala Lumpur dan ia dibayar pula 77 juta pada hal yang memerlukan sokongan dunia supaya mengikut saja kemahuannya ialah Amerika sendiri. Tentunya APCO dapat habuan juga dari Amerika.

Tugas APCO sekarang bukan lagi melobi Amerika supaya menerima Malaysia dan Najib, kerana lobi untuk itu tidak diperlukan, tetapi ialah menasihatkan Najib bagaimana menghalang Anwar dan Pakatan Rakyat dari menumbangkan Najib. Sebahagian kecil dari 77 juta itu boleh digunakan bagi membeli penyokong Anwar.

Itulah sebabnya Mahathir dan UMNO diam tentang kehadiran APCO zionis itu.

Sunday, March 28, 2010

JOM HEBOHKAN KEYUNIKAN KELANTAN !!!

Penghujung tahun lalu, Karnival Jom Heboh TV3 telah diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 4,5 dan 6 Disember 2009. Seperti biasa Jom Heboh yang dimuatkan dengan acara hiburan, promosi perniagaan dan beli belah. Pun begitu, acara yang sentiasa mendapat sambutan hangat adalah biasa dikenali sebagai rancangan hiburan melibatkan pelbagai lapisan artis. Namun, tidak kurang juga sambutan ribuan orang ramai kepada konvensyen jutawan, gerai promosi Malaysian Biotechnology serta jualan pelbagai jenama perkhidmatan telefon selular.

Sehubungan itu, Jom Heboh lebih popular sebagai karnival hiburan, walaupun kandungannya bersifat berimbang antara matlamat hiburan dengan perniagaan. Dalam menangani soal ini, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pernah menegur penganjuran Sure Heboh (lihat Malaysiakini.com, 30 Julai 2004) sebagai program hiburan yang melampau mengundang pelbagai kesan maksiat.

Dari Sure Heboh ke Jom Heboh

Mungkin atas teguran Mufti Perak, pihak TV3 telah membuat penyesuaian dengan mengurangkan unsur budaya barat dan mengutamakan orientasi hiburan berkonsepkan kekeluargaan dan perniagaan serta mempromosi mesej kerajaan.

Sensitiviti itu dijadikan sebab bagi TV3 selaku penganjur menukar nama dan konsep Sure Heboh kepada Jom Heboh. Ia boleh berlaku atas sifat TV3 sebagai saluran televisyen swasta yang dipacu oleh orientasi untung perniagaan. Maka, tidaklah pelik bagi TV3 mengambilnya sebagai pencetus bagi mendapat sambutan lebih hangat pelbagai golongan masyarakat dan tidak sahaja golongan muda yang berwatak “happy go lucky.”

Ketika Jom Heboh dikenali dengan Sure Heboh dulu, boleh dikatakan hampir semua bandar besar telah menerima penganjuran karnival TV3 itu yang dimulakan sejak tahun 2003. Sambutan di Johor Baru melebihi 200,000 orang, Melaka melebihi 300,000, di Kuantan 400,000 dan Pulau Pinang melebihi 450,000 dan paling ramai di Ipoh mencecah 500,000 orang.

Dengan persembahan baru pihak penganjur dijangka lebih berjaya menarik lebih ramai pengunjung kalangan ibu-bapa dan para pelajar, di samping golongan peniaga, usahawan dan peminat hiburan. Oleh itu, Karnival Jom Heboh Kelantan dijangka mendapat sambutan hebat seperti mana sambutan kepada beberapa konsert hiburan alternatif seperti Konsert Tautan Kasih melibat penyanyi popular Mawi satu ketika dulu.

Jom Heboh Kelantan

Kini sudah heboh pula, Jom Heboh memasuki Negeri Kelantan, bumi Serambi Mekah yang dipimpin oleh menteri besar, seorang ulamak. Apa jampi yang TV3 tiupkan kepada kerajaan Negeri Kelantan tidaklah dipastikan. Apa yang pasti, pada 26-27 Mac nanti Kelantan sebuah negeri yang meletakkan panduan syariat sebagai asas pentadbiran menjadi tuan rumah. Menteri Besarnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat komited di dalam merealisasikan dasar hiburan berkonsepkan dakwah dan terkawal. Menerusi dasar hiburan itulah diterapkan penguatkuasaan halal dan haram, termasuklah untuk penganjuran Jom Heboh itu.

Kesemua aspek dasar hiburan itu terkandung di dalam enam prinsip dan garis panduan utama Dasar Kebudayaan Negeri Kelantan 1998. Antaranya mestilah berlandaskan Islam bagi mencapai keredaan Allah, apa-apa unsur kebudayaan luar hendaklah selaras dengan prinsip Islam, boleh diamalkan kebudayaan setiap kaum tetapi hanya untuk kaum tersebut, mengutamakan pembangunan yang mengambil kira nilai budaya setempat dan selaras dengan Islam, berlaku pengasingan lelaki dan wanita, dan amalan kebudayaan yang bercanggah dengan hukum syarak hendaklah disesuaikan dengan syarak.

Menjelaskan perkara itu (TheMalaysiainsider.com, 6 Mac 2010), Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata persetujuan kerajaan itu hasil perbincangan antara pihak Media Prima dan kerajaan negeri. Asas kawalan utama adalah tetap melarang penyanyi wanita membuat persembahan, di samping penonton hendaklah diasingkan mengikut tiga kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita.

“Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini, berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak.”

“Pihak berkenaan (TV3) memperakukan segala peraturan dan syarat-syarat pertunjukan itu, kerajaan negeri sedia menerima konsert itu tahun ini.”

“Turut diadakan sempena Jom Heboh itu ialah satu slot khas bercorak agama yang melibatkan penyertaan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” jelas Takiyuddin.

Kandungan Jom Heboh itu dipastikan memenuhi kehendak Dasar Kebudayaan Negeri Kelantan. Antaranya, pada malam 27 Mac program hiburan yang diadakan hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Difahamkan ketika Jom Heboh di Bukit Jalil tahun lalu, pihak Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) turut membuka khemah pameran dan penerangan mengenai kemajuan teknologi berasaskan bio itu.

Sebelum itu, pihak BiotechCorp turut menyertai Jom Heboh di Danga Bay Johor, Petrajaya Kuching dan Batu Kawan Pulau Pinang. Sambutannya amat baik dan hangat yang sekali gus telah mendedahkan kepada golongan muda dan generasi awal mengenai teknologi baru untuk kelestarian hidup ummah sejagat. Ini kerana BiotechCorp merupakan peneraju utama industri berasaskan biotechnology yang dikenal pasti sebagai peneraju penting ke arah pembangunan masa depan negara dalam bidang ekonomi yang berkaitan.

Dalam konteks ini, ia selari dengan dasar Kerajaan Negeri Kelantan yang telah menubuhkan Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Bagi Jom Heboh Kelantan kali ini, Kelantan Biotech difahamkan turut sama menyertai BiotechCorp bagi mempromosikan komitmen Negeri Kelantan di dalam perkembangan teknologi bio itu.

Sudah tentu, rakyat Kelantan akan dapat menyaksikan tanda-tanda kebesaran Tuhan yang menjadi misi Kelantan Biotech di dalam mempromosikan kejadian-Nya melalui sifat semula jadi serta biologinya. Sehingga kini, Kelantan Biotech telah memproses pelbagai produk menggunakan bioteknologi untuk manfaat pembangunan usahawan, perniagaan dan pengenalan produk biobahan novel (penemuan baru).

Peluang memacu ekonomi

Bukan sekadar itu, difahamkan banyak lagi pameran perniagaan dan bidang keusahawanan akan turut serta di dalam Jom Heboh Kelantan kali ini. Ia adalah peluang bagi agensi negeri menjadikan Jom Heboh sebagai pemacu ekonomi negeri dan pelancongan, kerana bersesuaian dengan cuti Keputeraan Al-Sultan Kelantan. Ia juga merupakan peluang bagi pelbagai syarikat, termasuk produk batik, kraft tangan, kesihatan dan pemakanan asli keluaran usahawan Kelantan yang begitu banyak aktif di negeri ini.

Antara yang mengesahkan penyertaan adalah produk perubatan Islam dan ubat-ubatan tradisional daripada pelbagai jenama. Di samping agensi Kerajaan Negeri Kelantan seperti Urusetia Penerangan sedia mempamerkan kemajuan dasar dan program pembangunan Negeri selama 20 tahun di bawah kepemimpinan ulamak.

Begitu juga, difahamkan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan menerusi pelbagai syarikat anak sedia mempromosi produk pembangunannya. Antaranya, menerusi Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad akan dipamerkan pelbagai produk Kelantan Best jenis makanan dan minuman; Binaraya mempromosikan produk perumahan, An-Nisa produk klinik bersalin dan Ar-Rahn dengan produk gadaian Islam.

Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKBBRI) dimaklumkan turut memberi kerjasama bagi memastikan Jom Heboh berjalan dengan jayanya. Malah MPKBBRI turut terlibat dengan acara perlawanan bola sepak persahabatan antara Pasukan VVIP Negeri Kelantan diketuai Pengerusi Kerajaan Tempatan, Datuk Takiyudin Hassan dengan Pasukan TV3 di sebelah malamnya.

Menyampai misi dakwah

Apa yang penting diambil perhatian, peluang Jom Heboh Kelantan kali ini adalah medan pelbagai kumpulan pengunjung sedia hadir. Paling utama harus dilihat kumpulan pengunjung remaja dan ibu-bapa. Masa itulah pelbagai pihak dari agensi dakwah, Pemuda, Pasukan Amal dan Pasukan Nisa’ serta Muslimat turut menyampaikan risalah penerangan dan seruan keagamaan serta pendekatan terbaik untuk ibu-bapa dan anak-anak mereka. Sewajarnya, pihak penganjur memberi laluan kepada usaha sisipan dakwah itu demi mendapat manfaat bersama bagi keharmonian rakyat Kelantan.

Semoga Tuhan Yang Esa mengawasi dan memberkati perjalanan hidup dan pentadbir Negeri Kelantan sepanjang masa.

Monday, February 22, 2010

6 SOALAN MAUT DARIPADA IMAM AL-GHAZALI…

1. Imam Ghazali: Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Murid 1: Orang tua
Murid 2: Guru
Murid 3: Teman
Murid 4: Kaum kerabat

Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati

“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya”

(Surah Ali-Imran :185)


2. Imam Ghazali: Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

Murid 1: Negara Cina
Murid 2: Bulan
Murid 3: Matahari
Murid 4: Bintang-bintang

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.


3. Imam Ghazali: Apa yang paling besar didunia ini ?

Murid 1: Gunung
Murid 2: Matahari
Murid 3: Bumi

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU

“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai”

(Surah Al-A’raf: 179)

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.


4. IMAM GHAZALI : Apa yang paling berat didunia?

Murid 1: Baja
Murid 2: Besi
Murid 3: Gajah

Imam Ghazali: Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan”

(Surah Al-Azab : 72 )


Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

5. Imam Ghazali: Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Murid 1: Kapas
Murid 2: Angin
Murid 3: Debu
Murid 4: Daun-daun

Imam Ghazali: Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat


6. Imam Ghazali: Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?

Murid-muridnya dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Ghazali: Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri

KECELARUAN YANG SEMAKIN BERCELARU

Umno semakin bercelaru antara perkara usul dan furuk dalam agama. Isu perarakan maulid seolah-olah kalau tidak buat boleh menjejaskan aqidah. Pada fahaman mereka kalau tidak ada perarakan semacam mengerjakan haji tidak ke Arafah. Sedangkan perarakan maulid hanyalah salah satu program di dalam upacara sambutan maulid nabi SAW, yang dilakukan setengah tempat di negara ini.
Tetapi isu ini menjadi panas kononnya kerajaan Pulau Pinang membatalkan program perarakan maulid pada 26hb Feb 2010. Walaupun program perarakan tetap dijalankan, pemimpin Umno bising dengan menuduh kerajaan di bawah pimpinan Lim Guan Eng menghina agama dan tidak menghormati hari kebesaran nabi Muhammad SAW. Lainlah ceritanya kalau kerajaan Pulau Pinang tidak mengistiharkan 12 Rabiulawal bukan cuti umum. Tetapi pemimpin Umno akan mengintai apa sahaja isu yang berlaku di Pulau Pinang untuk dieksploitasi supaya meniupkan kemarahan orang-orang melayu kepada Pakataan Rakyat. Fokus mereka bukan untuk ambil Pulau Pinang tetapi ialah untuk menanamkan perasaan benci di kalangan pengundi melayu di negeri-negeri lain. Kerana umno sedar dengan demografi dan kerusi di Pulau Pinang sukar untuk mereka mengambil balik negeri tersebut, walaupun Umno sapu bersih di kawasan Melayu.
Dengan timbulnya isu perarakan maulid Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak golongan yang belajar agama dalam Umno untuk tampil memberikan hujah dan hukum berhubung isu perarakan maulidur Rasul dan bertafakur dihadapan tugu negara. Pada masa ini Umno sengaja menimbulkan rasa kurang senang masyarakat Islam di negara ini dengan memainkan isu perarakan maulidur Rasul di Pulau Pinang, tanpa memberikan kefahaman kepada ahli mereka tentang hukum syiar berkenaan diadakan. Umno menjadikannya bahan politik dan menjaja di seluruh negara seolah-olah perarakan berkenaan adalah sesuatu yang wajib dan menjadi sunnah Rasulullah. Ramai kalangan ahli Umno yang tidak tahu sejarah sambutan Maulidur Rasul ini.
Di antara fakta sejarah mencatatkan bahawa sambutan ini mula diadakan secara rasmi oleh ipar kepada Sultan Salahuddin Al-Ayubi, iaitu Muzaffaruddin Gekburi, yang menjadi penguasa daerah di Irbil, Syria Utara. Sambutannya dibuat secara sederhana dengan majlis doa dan majlis selawat. Kemudian Sultan Salahuddin mengangkat sambutan ini keseluruh pelusuk Kerajaannya dengan niat untuk menyemarakkan syiar agama dan bukannya perayaan yang bersifat ritual semata-mata. Sultan Salahuddin juga mengunakan perayaan berkenaan untuk membangkitan rasa cinta kepada perjuangan Rasulullah dan memberikan semangat kepada tentera Islam yang dipimpinnya untuk menghadapi perang Salib ketika itu. Sambutan pertama diadakan oleh Sultan Salahuddin pada 1184 (580 H) dengan mengadakan pertandingan sayembara puisi khas untuk Rasulullah. Pertandingan ini dimenangi oleh Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim yang menulis puisi panjang bertajuk 'Iqd Al-Jawahir (ertinya kalung permata). Puisi inilah yang dibukukan dan dipanggil oleh orang-orang Melayu sebagai buku Barzanji yang diambil sempena nama penulisnya.
Adapun perarakan yang dibuat Sultan lebih kepada perarakan tenteranya yang beramai-ramai ke medan perang sehingga sebahagiannya menemui syahid, sedang yang sebahagian lagi yang masih hidup berjaya menakluki Baitulmaqdis pada 1187 (583 H). Akhirnya sambutan ini telah menjadi tradisi dibeberapa negara termasuk di Malaysia. Walaubagaimana pun sambutannya bukanlah perkara yang diwajibkan dalam Islam, begitu juga jika mahu mengadakan perarakan kerana Islam lebih menuntut umatnya mengamalkan sunnah Rasulullah dan menjunjung Islam sebagai panduan hidup.
Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini pernah mengharamkan majlis sambutan dan perarakan Maulidur Rasul yang didalamnya wujud percampuran antara lelaki dan perempuan. Walaubagaimana pun Fatwa itu dilanggar dan hingga kini masih lagi berlaku percampuran lelaki dan perempuan terutamanya dalam sambutan diperingkat Kebangsaan dan Negeri. PAS bertegas agar umat Islam menunaikan perkara wajib iaitu mengikuti Sunnah Rasulullah dan mengangkat Al-Quran sebagai Perlembagaan hidup berbanding melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah.
Kita lihat sahaja, setiap kali ada sambutan dan perarakan, wang rakyat akan dihabiskan untuk menempah baju baru kepada peserta perarakan dan mengundang penyanyi-penyanyi untuk berhibur sedangkan tidak semua rakyat dapat hadir ke dalam majlis itu. Sebaiknya wang berkenaan digunakan untuk membantu fakir miskin yang masih wujud dinegara ini. Tidak mengapa jika perarakan tidak diadakan kerana boleh digantikan dengan program lain seperti kuliah, berzanji dan majlis-majlis lain yang melibatkan rakyat kebanyakkan diseluruh pelusuk Masjid dan surau dinegara ini.
PAS pelik kenapa Umno begitu bersungguh memainkan isu ini sedangkan dalam masa yang sama mereka menutup mata dan teliga melihat Presiden mereka setiap tahun bertafakur di hadapan tugu negara yang sebelum ini difatwakan sebagai perbuatan syirik oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Ke mana dokumen keputusan Majlis Fatwa itu disimpan. Kenapa ahli-ahli Umno tidak bangkit berdemo atau mengadakan bantahan bila pemimpin umno bertafakur di hadapan tugu negara setiap tahun.
PAS menghargai jasa anggota keselamatan negara, dan mahu jasa mereka itu dikenang dengan Kerajaan memperbanyakan bantuan kepada waris-waris mereka dan bukannya menghabiskan duit membeli bunga untuk dikalungkan pada patung tugu yang tidak bernyawa itu. PAS menyeru kepada ahli Umno supaya mendalami Islam dan bukannya mengambil Islam mengikut keperluan mereka dan membuang sebahagian hukum Islam untuk kepentingan politik mereka.

Wednesday, January 27, 2010

KDNK KELANTAN JAUH LEBIH TINGGI BERBANDING KDNK KEBANGSAAN!

Kadar kemiskinan di Kelantan telah menurun kepada 4.1 peratus pada 2008 berbanding 7.2 peratus pada 2007 dan 10.4 (2004).
Ini bermakna kadar kemiskinan di Kelantan 0.3 peratus lebih tinggi daripada purata kadar kemiskinan peringkat negara iaitu 3.8 peratus.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, bagi kategori penduduk miskin tegar Kelantan hanya mempunyai 0.6 peratus, di mana jumlah itu jauh lebih rendah berbanding peringkat kebangsaan 0.8 peratus.
Beliau berkata, perangkaan tersebut didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika rombongan Kelantan datang berunding mengenai teras asas dan pemulihan projek bagi perlaksanaan RMK-10, 25 Januari lalu.
Husam yang juga salah seorang anggota rombongan berkenaan berkata, taklimat diberi berhubung prestasi ekonomi Kelantan yang begitu menggembirakan.
Tambahnya, pada masa yang sama KDNK Kelantan pada 2007 dan 2008 buat pertama kali jauh lebih tinggi berbanding KDNK peringkat kebangsaan.
“ni kerana sejak 2006 KDNK telah berkembang kepada 5.9 peratus, 2007 (7.5 peratus) dan 2008 (5.1 peratus),” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Berbanding dengan kerajaan Persekutuan pada tahun 2006 (5.8 peratus), sedangkan Kelantan (5.9 peratus).
Pada 2007 KDNK Persekutuan 6.2 peratus, manakala Kelantan 7.5 peratus dan 2008 kerajaan pusat 4.1 peratus, manakala Kelantan 5.1 peratus.
“Alhamdulillah kerajaan negeri bersyukur kerana KDNK Kelantan mengatasi kerajaan Persekutuan buat pertama kalinya,” ujar beliau.
Sehubungan itu beliau mengucap terima kasih kepada usahawan, pelabur, agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang bersama-sama melaksanakan beberapa pembaharuan sehingga membuahkan hasil positif.
Menurutnya, keprihatinan kerajaan Kelantan membantu kerajaan pusat ke arah bagi membasmi kemiskinan telah menampakkan hasilnya dalam tempoh lima tahun.
Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, kerajaan negeri bersetuju bekerjasama dengan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam sektor agropolitan bagi mempercepatkan pengurangan tahap kemiskinan di negeri ini.
Katanya, seramai 750 peserta akan ditempatkan pada fasa 1 program agropolitan di Paloh, Gua Musang.
Selain itu kata beliau kerajaan negeri akan memberi hak milik tanah kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
“Tanah-tanah tersebut akan dijadikan asas penempatan penduduk bagi program di bawah ECER. Setiap peserta akan mendapat pendapatan minima sebanyak RM1,000 sebulan,” ujar beliau.
Peserta terlibat akan diberi rumah yang siap dibina dan kemudahan asas lain.
Beliau juga berkata, Kelantan turut mencadangkan supaya dapat dipercepatkan beberapa projek pembangunan seperti pembesaran landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
“Kita juga memohon untuk pembesaran jalan raya Kota Bharu-Kuala Krai agar diselesaikan dahulu walaupun akan disambung dalam RMK-10,” katanya.

Monday, January 25, 2010

PANDANGAN ILMAM & MANHAL PMRAM

Isu Kalimah Allah

Merujuk kepada isu penggunaan kalimah Allah bagi non muslim di Malaysia, Markaz Pengumpulan Kajian & Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL) mengutarakan pandangan para ulama' berkenaan isu tersebut dan syor dari MANHAL.

1.Secara umum, para ulama telah terbahagi kepada dua pandangan.

• Pandangan pertama: Membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah. Pandangan ini bersandarkan dengan firman Allah di dalam surah Luqman ayat 25 yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad) Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka itu. Bahkan kebanyaakn dari mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)”

Firman Allah dalam surah al-Mu’minun ayat 86-87 yang bermaksud:

“Tanyakanlah lagi siapakah yang memiliki dan mentadbir langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai arasyh yang besar? (86) Mereka akan menjawab (semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah (wahai Muhammad) mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (87)

“Para ulama empat mazhab menyatakan dalam masalah sumpah bahawa non muslim hendaklah bersumpah dengan nama Allah.” (Dr. Wahbah Zuhaili, al-Feqh al-Islami Wa Adillatuhu 8/136)


• Pandangan kedua: Tidak membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah berdasarkan hujah-hujah berikut;

Nama Allah mungkin digunakan sebagai nama khas untuk makhluk sedangkan ijmak ulamak tidak mengharuskannya sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Qarafi. (rujuk Al-Furuq 3/111, Mawahib al-Jalil 3/279)

Apabila mengizinkan non muslim menggunakan kalimah Allah, ini bakal mendedahkan nama Allah kepada penghinaan apabila disifatkan dengan pelbagai sifat yang menyalahi akidah muslim. Masalah ini didapati dari apa yang dibahaskan oleh Ulama' mazhab Syafei bahawa haram kepada seorang muslim menulis nama Allah dalam fatwa kepada ahli zimmah (non muslim) kerana ia boleh menghina nama Allah SWT.

“Dapat diambil iktibar darinya (mendedahkan mashaf kepada kehinaan sekiranya dimiliki orang kafir) adalah lebih utama mengharamkan muslim menulis Lafaz Jalalah (kalimah Allah) pada soalan dan jawapan apabila diminta fatwa oleh kafir zimmi.” (Hasyiah al-Bujairimi ‘Ala al-Khatib 3/314, Hasyiah al-Syarwani ‘Ala Tuhfah Al-Muhtaj 4/230)

2. Secara asasnya, pihak MANHAL bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah digunakan oleh non muslim.

3. Namun melihat kepada realiti dan sensitiviti umat islam di Malaysia, MANHAL mencadangkan agar kerajaan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada non muslim secara bertulis atas dasar menutup implikasi buruk yang mendatang. Mengutamakan mudarat umum lebih utama daripada melihat maslahat pihak tertentu sebagaimana ditegaskan oleh Imam Syatibi dan juga Imam Ghazali.

"Sekiranya dapat dibaiki kemudaratan dan dapat dihilangkan sekaligus maka lebih utama diambil kira kemudaratan umum tersebut (daripada maslahat khusus), Jadi dihalang orang atau pihak tertentu dari mendapat maslahatnya. Ini kerana maslahat yang umum perlu diutamakan daripada maslahat khusus" (Al-Muwafaqat 2/348)

"Dan sangkaan yang menghampiri martabat yakin apabila bersifat umum dan amat besar bahaya padanya (sekiranya tidak diraikan) maka dipandang kecil individu-individu tertentu seandainya dibandingkan dengannya" (Al-Mustasfa 1/424)

4.Sekiranya kerajaan bercadang untuk membenarkan non muslim mengguanakan kalimah Allah, maka syarat-syarat yang ketat mestilah dikenakan demi memastikan perkara-perkara di atas tidak berlaku. Hukuman yang berat juga mesti dikenakan kepada pihak yang menyalahgunakan kebenaran tersebut. Ini demi memastikan kesucian nama Allah terpelihara dari sifatnya yang Maha Esa.

Petikan dari :
http://www.pmram.org/index.php option=com_content&view=article&id=770:kenyataan-rasmi-manhal-pmram-tentang-isu-penggunaan-kalimah-allah-oleh-non-muslim&catid=8:isu-semasa&Itemid=70