Monday, November 23, 2009

HIKMAH KAEDAH PENYEMBELIHAN MENURUT ISLAM


Islam adalah agama rahmat-kasih sayang untuk seluruh manusia bahkan kepada haiwan. Perhatikanlah bagaimana peraturan Islam dalam penyembelihan binatang ternakan. Cara penyembelihan Islam juga adalah sangat baik untuk kesihatan.

TUNTUTAN mendapatkan makanan halal menjadi perkara penting bagi setiap Muslim. Ini kerana ia adalah perintah daripada Allah melalui rasul-Nya. Pemakanan halal adalah di antara ciri utama dalam pembentukan fizikal sihat, khususnya bagi perkembangan minda serta hati manusia.

Pengetahuan tepat serta menyeluruh mengenai kaedah penyembelihan yang mengikut lunas syariat amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor kesihatan.

Tambahan lagi, konsep sembelihan dalam Islam atau ‘zabiha’ juga perlu dihuraikan sebaik mungkin agar ibadat ini tidak dilihat sebagai satu perbuatan menyeksa haiwan secara kejam dan perlahan, berdasarkan pandangan masyarakat bukan Islam yang melihatnya hampir setiap tahun menjelang Aidiladha.

Islam meletakkan garis panduan dalam penyembelihan haiwan. Buku bertajuk Halal dan Haram dalam Islam Oleh Syeikh Muhammad Yusuf Qardhawi menghuraikan kaedah dan syarat penyembelihan berdasarkan al-Quran dan sunnah. Penyembelihan harus menggunakan objek tajam. Kaedah ini untuk meminimumkan kesakitan haiwan ketika disembelih.

Sabda Nabi saw bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik kepada sesuatu. Oleh itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara menyembelihnya dan tajamkanlah pisaunya serta mudahkanlah penyembelihannya itu” (Hadis riwayat Muslim).

Penyembelihan harus dilakukan pada leher haiwan itu, iaitu pada bahagian urat nadi atau kerongkongnya. Setiap penyembelihan perlu dimulakan dengan Bismillah.

Firman Allah bermaksud: “Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya” (Surah al-An’aam, ayat 118).

Fakta saintifik membuktikan bagi setiap penyembelihan, darah haiwan itu perlu dialir keluar. Ini kerana darah adalah medium terbaik bagi mikro organisma membiak. Bahagian ‘spinal cord’ hendaklah dielakkan daripada terpotong ketika sembelihan dilakukan kerana ia akan menyekat aliran darah keluar akibat daripada saluran darah terganggu kesan daripada jantung haiwan terhenti secara tiba-tiba.

Dr Zakir Naik, seorang doktor dan pendakwah Islam antarabangsa menyenaraikan kepentingan serta kebaikan penyembelihan mengikut hukum syarak. Kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik dan bersih. Ini kerana darah yang menjadi punca pembiakan kuman, bakteria dan toksin yang akan menyebabkan beberapa penyakit dikeluarkan sejurus selepas proses penyembelihan. Selain itu, daging sembelihan kekal segar dalam satu tempoh yang lama.

Kaedah penyembelihan Islam juga tidak menyebabkan kesakitan kepada haiwan itu. Ini kerana saluran darah serta saraf yang menghubungkan ke otak yang boleh menyebabkan rasa sakit terputus. Maka keadaan di mana haiwan bertindak balas secara tiba-tiba dalam keadaan agresif bukan kerana kesakitan, tetapi kesan tindak balas otot yang berlaku apabila darah mengalir keluar.

Profesor Schultz dan rakannya Dr Hazim dari Universiti Hanover, Jerman, membuktikan melalui eksperimen dengan menggunakan alatan saintifik seperti Electroencephalograph (EEG) dan Electrocardiogram (ECG) menunjukkan kaedah sembelihan Islam adalah terbaik. Tiga saat pertama selepas kaedah sembelihan cara Islam dilakukan, EEG tidak menunjukkan sebarang perubahan graf. Ini menunjukkan haiwan itu tidak mengalami sebarang kesakitan secara tiba-tiba selepas penyembelihan. Kemudian, selepas tiga saat yang seterusnya, EEG merekodkan keadaan yang dinamakan sebagai ‘deep sleep’ di mana, haiwan mengalami keadaan tidak sedarkan diri kesan daripada darah yang mengalir keluar dari tubuh haiwan itu. Akhir sekali, EEG pada paras 0 menunjukkan tiada tanda-tanda kesakitan selepas enam saat eksperimen dilakukan. Kaedah ujian saintifik hari ini membuktikan kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik.

Seterusnya menunjukkan Islam amat mementingkan kebersihan serta kesihatan. Pemilihan pemakanan yang halal penting dalam memastikan tahap kesihatan sentiasa berada di tahap yang memuaskan agar memperoleh tenaga yang secukupnya untuk beribadat. Oleh itu, Muslim perlu menilai dan meneliti sumber pemakanannya agar datang dari sumber yang halal bukan meragukan.

Wednesday, November 18, 2009

CARA MENYEMBELIH BINATANG MENURUT MAZHAB SYAFIEE

Sembelihan menurut Mazhab Imam As-Syafie mestilah dengan memutuskan dua urat utama pada leher binatang yang berkenaan iaitu;

1) Urat Halkum (saluran pernafasan),

2) Urat Marih (saluran makanan). Kerana dengan putusnya kedua-dua urat berkenaan maka akan mudahnya haiwan berkenaan mati. Dalam Mazhab As-Syafie disunatkan turut sama memotong Urat Al-Wijdan iaitu saluran darah. Jika haiwan berkenaan pendek lehernya seperti lembu disembelih dihujung lehernya manakala jika panjang lehernya seperti unta disembelih dipangkal lehernya.

Berdasarkan Mazhab As-Syafie juga amalan yang sunat ketika menyembelih binatang korban adalah seperti berikut:

1.Mengadap Kiblat.

2.Membaca: "Bismillahi wallahu Akbar "بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر.

3.MembacaSelawat


4.Membaca doa :
أللهم هذا منك وإليك


5.Elok juga ditambah doa:
أللهم تقبل مني كما تقبلت من إبراهيم خليلك

Rujukan : الفقه الإسلامي وأدلته، الدكتور وهبة الزحيلي ج:4، ص:2736

MELAHIRKAN SOLAHUDDIN AL-AYUBBI AS-SANII

Ilmu kerohanian yang berkembang seiring amalan kerohanian yang kuat adalah antara ramuan yang perlu diadun dengan harapan masyarakat Islam pada zaman datang akan lebih berupaya menterjemahkan kemenangan sebagai yang dijanjikan Tuhan lewat lidah rasulNya yang mulia.

Hal inilah yang menjadi sebab utama kepada pembebasan di bumi Palestin. Kini, bumi yang masih diratah penjajahan Yahudi Zionis itu masih mengaum kelaparan tanah dan dahagakan darah warga Palestin.

Matlamat umat Islam akhir zaman ini ialah barangkali mengarahkan seluruh kekuatannya ke arah kemerdekaan bumi Palestin tanpa mengesampingkan isu-isu lainnya di selatan Thai, Filipina dan wilayah-wilayah yang lain.

Salah seorang watak pembebasan Palestin yang terkenal adalah Salahuddin al-Ayyubi. Sebenarnya, manusia agung seperti Salahuddin ini tidak muncul mendadak. Ada seseorang berada di belakangnya yang turut memberikan ruang untuk kefahaman diri tentang betapa pentingnya usaha membebaskan bumi Palestin itu.

Manusia yang telah mencetak Salahuddin sebagai wira agung itu bernama Nuruddin Zanki. Pemerintah inilah yang telah pun mengisi ke dalam ruang batinnya untuk memberikan penjelasan kepada Salahuddin agar membebaskan Masjid al-Aqsa.

Riwayat Nuruddin tamat ketika baginda belum sempat menyaksikan kemerdekaan Palestin. Waris Nuruddin, as-Salih Ismail al-Malik masih kecil ketika itu. Dan, waris Nuruddin juga tidak berusia panjang.

Kebangkitan Salahuddin

Sebagai lelaki biasa, Salahuddin dan bala tenteranya pernah tewas di tangan musuh. Hal ini bukanlah suatu keganjilan jika diperhatikan betapa banyaknya pertempuran di yang menyaksikan kekekalahan dalam perang antara umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w sendiri.

Namun kekalahan itu bukan titik noktah bagi watak seperti Salahuddin ini untuk segera menamatkan usaha merebut kembali Palestin. Dalam Perang Montgisard pada 1177, misalnya, bala tentera Islam ditewaskan oleh gabungan tentera Baldwin IV dari Baitulmuqaddis, Raynald dari Chatillon dan Knights Templar atau dikenali sebagai Tentera Salib.

Namun, selepas tamat Perang Hattin, Salahuddin berjaya merebut kembali hampir kesemua kota-kota yang dikuasai tentera Salib. Beliau berjaya menawan semula Baitulmuqaddis (Jerusalem) pada 1187 selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib.

Perang Hattin dan kejayaan tentera Islam menawan kembali Baitulmuqaddis mengakibatkan terjadinya Perang Salib Ketiga yang dibiayai England melalui cukai khas yang dikenali sebagai 'Cukai Salahuddin'.

Tentera kufar ini tidak berdiam diri. Akhirnya, mereka berjaya menawan semula Acre, dan tentera Islam memerangi semula tentera Raja Richard I dari England (dikenali sebagai Richard The Lion Heart) dalam Perang Arsuf pada 1191.

Baitulmaqdis berada selama 88 tahun dalam genggaman musuh Islam sebelum berpindah ke kuasaan Salahuddin. Kini semenjak 1948 sehingga 2009, daerah yang bergolak ini telah menyaksikan darah pejuang Islam menggelegak selama 61 tahun.

Adakah kita ada kira-kira 30 tahun lagi untuk merebut ketuanan ke atas wilayah itu menjelang 2040 atau 2050?

Sejauhmanakah kita telah menyalakan kempen secara besar-besaran dalam kalangan negara-negara Islam untuk membebaskan Al-Quds bersama wilayah-wilayah Muslim di belahan benua dan dunia lain yang turut sama tertindas?

Umat Islam tidak boleh melupakan peranan dan sumbangan ramai tokoh ulama kerohanian yang turut menyumbang pemikiran dalam proses peningkatan kerohanian pada zaman kebangkitan penguasa Palestin. Ulamak-ulamak seperti Imam Abu Hamid Al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Ibnu Qudamah al-Maqdisi dan lain-lain barisan ulamak muktabar telah banyak mempengaruhi kerohanian umat Islam pada zaman tersebut.

Tuesday, November 17, 2009

FITNAH MEMBUNUH KESATUAN, MENODAI PERSAHABATAN


Fitnah adalah satu malapetaka yang membinasakan. Sememangnya Islam memberi perhatian serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk dari membunuh. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti, prasangka tanpa asas dan persepsi yang salah. Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurang-kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain.


Ia juga seperti harimau yang sedang tidur. Sesiapa sahaja yang mengejutkannya dari tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu bingkas dan menerkam. Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah, ia akan menyala dan menyambar. Fitnah juga boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi. Lantaran itu, berhati-hatilah kerana fitnah adalah agenda syaitan yang pastinya ingin melihat para pejuang Islam berantakan sesama sendiri.

Semoga kita dipelihara oleh Allah swt daripada kebinasaan ini. Jauhi fitnah malah jangan sekali-kali berjinak-jinak dengan fitnah. Jika ingin membuat tuduhan, pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas.

Jika mahu mengandai atau menyangka, pastikan andaian atau sangkaan itu baik. Jika mahu membentuk persepsi, bentuklah persepsi yang tepat dan benar. Terlebih wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat seperjuangan. Meskipun wujud perbedaan pandangan dan kelainan tindakan di kalangan anggota, ia tidak menghalalkan kita mencetus dan menabur fitnah.

Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh sahabat seperjuangan kita bahkan kesannya lebih kejam. Hanya dengan sebab fitnah, persaudaraan entah ke mana dan persahabatan entah ke mana. Maka terbuktilah bahawasanya lidah ini lebih tajam daripada mata pedang. Fitnah juga menyebabkan luka lama akan kembali berdarah dan seterusnya akan membarah jika tidak dipangkas secara tuntas.

Mengelak agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali - sekali membentuk sikap dan fikiran semata-mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil dan memberi peluang kepada pihak lain pula.

Padamkan segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara. Tiada siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak, sebaliknya KITA SEMUA akan binasa, anggota akan berpecah, masa depan perjuangan menjadi suram dan Allah akan murka.



Atas nama Allah swt kita bersyahadah, kitab suci al-Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita, maka saya menyeru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini. Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada agen-agen musuh untuk menyelinap masuk merosakkan kesatuan kita dari dalam.

Marilah kita menghayati kembali roh AKHLAK BERJAMAAH yang berpaksi atas semangat ukhuwah fillah yang utuh lagi intim. Jangan pula kita seronok melihat kesatuan kita retak dan hubungan kita rosak dan musnah. Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar, kesatuan dan ukhuwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya. Ini tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam.

Monday, November 16, 2009

MSD cuba gagalkan Program mahasiswa di Mesir dipersoal!


Tindakan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Kaherah cuba menggagalkan program pembacaan hadis Sahih Bukhari anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang sepatutnya berlangsung di Pusat Persidangan Al-Azhar (ACC) bulan lalu dianggap tidak professional dan ‘ada udang di sebalik batu’

Pengarah MSD Kaherah, Prof Dr Jamil Hashim telah menghantar surat kepada Syeikhul Al-Azhar meminta program itu dibatalkan pada saat-saat akhir.
Apa yang paling malang, alasan yang digunakan oleh pihak MSD ialah PMRAM adalah ejen parti pembangkang di Malaysia. Program itu dijadual diadakan pada 16 hingga 19 Oktober di pusat tersebut yang mampu menampung sekitar 700 peserta.

Ekoran itu, program itu terpaksa dipindahkan ke Tingkat 5, Dewan Rumah Johor di Kaherah yang hanya mampu menampung sekitar 300 peserta yang antaranya terpaksa mengikut program itu di tangga dan kaki lima bangunan tersebut.

Akibatnya Majlis perasmian program tersebut yang akan disempurnakan oleh Mufti Mesir, Syeikh Prof. Dr Ali Jumuah, malangnya terpaksa diadakan di sebuah gelanggang bola keranjang disitu.

Selain mufti Mesir, antara ulama hadis yang dijemput berucap ialah Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Jamal Farouk, Syeikh toha Dusuqi Hubaisy, Syeikh Dr Yusri Rushdi Saiyyid al Hassani, syaikh Ahmad Hajain, Syeikh Dr Da'ad Jarwish, Syeikh Asyraf Imam Masjid 6 Oktober dan Syeikh Usamah Mahmud al Azhari.

Tindakan MSD itu dianggap sebagai taktik usang dan keterlaluan untuk memberi imej buruk dan tekanan kepada PMRAM agar tidak berfungsi sebagai sebuah badan kebajikan mahasiswa dengan baik dan berkesan.

Apa hak MSD untuk menganggu aktiviti PMRAM sedangkan ia sebuah badan kebajikan yang sah berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir.
Berikutan tindakan MSD itu, mahasiswa Universiti Al Azhar telah menubuhkan jawatankuasa khas, DESAK, untuk menuntut MSD memohon maaf secara terbuka dan kembali membersihkan nama baik PMRAM.

Mereka juga menuntut supaya Prof Dr Jamil dipanggil balik dan ditukar kerana didakwa gagal memainkan peranannya sebagai pengarah MSD yang sepatutnya membantu mahasiswa danbukannya "menghalang mereka menuntut ilmu".

Prof Dr Jamil sepatutnya diberi amaran keras oleh pihak kerajaan agar ia menjalankan tugas sebagai pengarah MSD dengan penuh dedikasi tanpa menyusahkan mahasiswa dengan agenda dan tanggapan jahat mereka terhadap mahasiswa.

Menuduh PMRAM sebagai ejen parti pembangkang bukan sahaja berniat jahat tetapi juga menggangu emosi mahasiswa di Mesir. Bahkan ia bukan perkara baru kerana sejak 1991, PMRAM sering diganggu oleh MSD dengan dituduh sebagai ejen pembangkang tanpa sebarang bukti.

Sunday, November 1, 2009

MUHASABAH UNTUK KITA SEMUA

1. Sejak sekian lama , kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph" . Bertugas dan bekerja dengan hambar . Terkadang dihambat rasa letih dan bosan .


2. Dulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerakkerja amal jamaei , amal fardi dan amal ijtimaei .


3. Masih saya ingat , selain usrah saban minggu , jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhaiyyam , namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis . Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi .


4. Ukhuwwah cukup erat dan intim . Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan " Ana Uhibbuka fillah Ya akhi " sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi - pipi merah yang menahan getir perjuangan ini . Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah . Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah .


5. Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan . Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap . Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita . Manakan tidak ..... Makan setalam , tidur sebantal dan musafir sekenderaan , bersulam doa rabitah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang .

6. Buku - buku haraki senantiasa di tangan , sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah . Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan - pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan .


7. Semangat jihad berkobar - kobar , merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala . Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya barulah disudahi dengan perkembangan isu semasa . Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan .


8. Timbul masaalah , segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing - masing menutup masaalah dan aib saudara masing - masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar . Cepat melupakannya serta segera memaafkan . Masaalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah islamiyyah yang tebal segera merawatnya .


9. Mesyuarat dengan penuh mesra . Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza . Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata . Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri , tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri . Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti - nanti . Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan .


10. Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini . Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan . Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat .


11. Sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang . Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif . Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api . Nak bercakap rasa tak kena , tak bercakap rasa salah . Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala , kalau sempat pun sekadar bersalam tangan . Rasa sukar untuk mendekap pipi , sebab masing - masing sibuk memburu waktu entah nak kemana .... kalau peluk semua ahli mesyuarat , terpaksa mengambil masa yang agak lama . Ada yang rasa janggal dan geli geleman .....


12. Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan . Memandang sahabat seperti musuh . Ya ... musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik . Menyertai PAS bukan lagi menyertai Gerakan Islam tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam .


13. Hadhir mesyuarat seperti menghadhiri parlimen untuk berdebat dengan musuh . Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti diparlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang . Tidak lagi bermula dengan al mathurat dan doa rabitah . Asmaul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras . Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa .


14. Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini . Nak baca macam mana , usrah pun sudah 5 tahun tidak hadhir . Terma - terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri , wehdatul amal dan sebagainya .


15. Mesyuarat sebelum mesyuarat , mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin . Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus . Sebab , sebelum masuk mesyuarat , perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komiti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan . Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu , ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi .


16. Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini . Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga mencurigai antara satu sama lain . Suasana senantiasa tegang dan panas . Bila - bila masa boleh mencetus perbalahan . Masing - masing dok tunggu tuning point sebagai masa nak bertindak .


17. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat . Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra . Seperti merenung musuh , kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita . Ada sahaja yang tidak kena dan hati senantiasa tidak puas .


18. Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur . Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja . Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa , kalau pun masih terasa hanya sekadar manis - manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka .


19. Terma - terma asas perjuangan Islam seperti jihad , negara Islam , hudud , mukhayyam tarbawi , usrah , harakah Islamiyyah , naqib , ukhuwwah fillah dan lain - lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum . Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak , tidak kena timing , keterlaluan , non muslim tidak akan mengundi kita , kolot dan macam - macam lagi sms akan masuk menempelak .


20. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi . Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah . Habis semangkuk , perut boleh kenyang tetapi umphnya tiada . Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula umph dalam perjuangan ini ?


Harapan saya , agar pemuda dapat menikmati semula umph tersebut . Untuk itu , pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat [ UMPH ] .

Sunday, October 18, 2009

PEMUDA OBOR PERJUANGAN

Tanggungjawab Pemuda Dalam Usia Sematang Ini :



1- Pemuda perlu mempersiapkan diri dari sekarang untuk keluar ke tengah medan bagi membantu menegakkan Islam di bumi Allah ini. Sesungguhnya Pemuda Adalah Obor Perjuangan.

2. Pemuda mempunyai peranan yang begitu besar dalam usaha untuk membantu perjuangan Islam. Peranan ini dapat dilihat berdasarkan peranan sahabat dalam menegakkan negara Islam.


3. Pemuda perlu mempunyai sifat tegas dan berani didalam diri. Sifat berani ini wujud di atas keyakinan bahawa perjuangan yang ditempuhi adalah bermatlamat mencari keredaan Allah dan melihat perlaksanaan syariat Islam dinegara ini. Ujian, mehnah dan tribulasi merupakan asam garam yang mesti dihadapi oleh setiap yang bergelar pejuang.


4. Kita wajib berusaha untuk menyatakan suara kita kepada rakyat agar rakyat peka dengan kewujudan kerajaan Alternatif yang mampu menggantikan Barisan National. Kita perlu membebaskan rakyat dari belenggu rasuah , kezaliman dan penyelewengan kuasa.


5. Kita mesti yakinkan rakyat dan pengundi bahawa pimpinan yang disediakan adalah berilmu, bertakwa, beriman, berkemahiran dan berpengalaman bagi menguruskan pentadbiran negeri atau negara . Pemuda PAS perlulah bekerja dengan lebih keras untuk menyedarkan rakyat betapa perlunya mereka membuat perubahan politik untuk memberi sokongan padu kepada PAS dalam pilihanraya umum akan datang.


6- Jentera pilihanraya Pemuda memerlukan kepada perancangan yang teliti serta menyusun gerak kerja yang lebih mantap dan berkesan kerana pilihanraya umum semakin hampir . Pemuda diseru agar merancang dan menyusun strategi disemua peringkat parti di negeri masing-masing kerana gerak kerja yang terancang dan tersusun serta bersemangat juang yang tinggi , insyaallah akan dapat membantu membuahkan hasil yang diidamkan , iaitu tertegaknya Daulah Islamiah di Malaysia.

7. Pemuda sebagai obor perjuangan telah dipertanggungjawabkan dengan tugasan untuk bersama dimedan juang islam , berjihad menentang musuh Allah, membangun, mendidik dan membentuk ummah dan seterusnya mempertahankan syakhsiah ummah tersebut.


8. Permasalahan Yang Perlu Disedari Bersama :


a. Krisis sosial yang berlaku dikalangan remaja , pencorak masa depan ummah amat membimbangkan kita. Keruntuhan Akhlak dan remaja dikalangan remaja adalah disebabkan anak muda terlalu didedahkan kepada dunia yang mencintai hiburan dan keseronokan , tetapi amat kurang memberi penekanan terhadap pemantapan akidah dan keimanan.


b. Kerajaan yang ada sekarang lebih berminat kepada projek-projek mewah dan pembangunan , tetapi tidak berminat untuk memulihkan kerendahan moral dan akidah termasuk membenteras gejala zina dan murtad yang semakin serius berlaku di negara kita. Sementara remaja kita sekarang banyak menjadikan artis-artis sebagai model ikutan mereka.


c. Majalah-majalah hiburan banyak memaparkan gambar-gambar separuh bogel dan sungguh mengaibkan. Eksploitasi wanita kian meningkat dan banyak aktiviti remaja yang menjurus kepada aktiviti yang tidak sihat termasuk pergaulan bebas antara lelaki dan wanita.


9. Oleh Itu Pemuda :


* Sudah tiba masanya untuk kita bekerja keras bagi menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang agar generasi umat islam masa depan dapat diselamatkan, agar generasi Al Quran dapat dibentuk untuk menerajui negara pada masa akan datang.


* Harapan diutarakan agar Pemuda keseluruhannya tidak mengabaikan aspek pentarbiahan diri seperti USRAH , samada diperingkat cawangan, kawasan dan seumpamanya. Ianya perlu dilaksanakan demi melahirkan pemuda yang mempunyai daya juang yang tinggi.


* Cabaran arus politik dan permasalahan semasa amat memerlukan pembentukan peribadi pemuda yang faham terhadap Islam dan tuntutannya. Ianya hendaklah dilaksanakan melalui program peningkatan ilmu dan kesedaran yang mendalam terhadap Addin [ agama ] .


* Syakhsiah pemuda yang bergerak dalam jemaah semestinya jauh berbeza dari pemuda - pemuda lain. Bermula dari keterampilan diri hinggalah kepada kemampuan memimpin dan menggerakkan ummah dibawah panji-panji Islam.


* Pemuda hendaklah bersikap terbuka , tiada rasa rendah diri apabila berhadapan dengan masyarakat luar.


* Para pimpinan pemuda jangan mudah terpedaya dan diperalatkan oleh mana-man pihak yang kurang senang dengan perjalanan organisasi pemuda . Pemuda juga seharusnya bijak mengawal keadaan dan mempunyai pendirian yang tegas dalam mempertahankan prinsip perjuangan.


* Meskipun sibuk dengan aktiviti jemaah dan perjuangan , maka pemuda tidak seharusnya mengabaikan tugasan rumahtangga dan ahli keluarga . Sesungguhnya pemuda sebagai watak yang paling utama dan agung ialah mendidik generasi baru ke arah melahirkan generasi alquran.


10. Selagi Islam tidak dijadikan asas dalam sistem kehidupan , maka selama itulah kita akan melihat kepincangannya. Contoh :

a. Ekonomi yang tidak menentu mengakibatkan harga minyak dan barang semakin meningkat dan berganda seterusnya membebankan golongan berpendapatan rendah.

b. Pembangunan yang tidak seimbang melahirkan insan yang menjadi hamba kepada dunia dan mengabaikan akhirat .

KP DPP Malaysia