1. Golongan munafiqin adalah musuh Islam dan musuh kepada orang - orang yang beriman . Malah ia juga musuh kepada Gerakan Islam dan ia dikenali sebagai musuh dalam selimut .
2. Ia menjadi musuh kerana sifatnya menjadi gunting dalam lipatan , api dalam sekam , duri dalam daging , talam dua muka , gergaji dua mata dan lidah bercabang dua . Sikapnya penuh kepura - puraan . Ia juga tergolong dari golongan opurtunis yang licik mengambil kesempatan untuk menikam dari arah belakang dan mencetus propaganda dari dalam .
3. Golongan ini menjadi ancaman kepada Gerakan Islam di sepanjang zaman . Nabi saw. pernah bersabda :"
إن أخوف ما أخاف على أمتي كل مناقق عليم اللسان
Sesungguhnya suatu yang paling ditakuti terhadap apa yang aku takut menimpa ummatku ialah semua munafiqin yang petah lidahnya .
Munafiqin petah menatah bicara dan mengemukakan alasan guna mewajarkan apa jua tindakan mereka . Sesekali mereka menampilkan diri melalui perwatakan yang meyakinkan bahawa mereka adalah pejuang yang tulen dan berhak dihormati serta disanjungi . Sedang segalanya adalah palsu dan hipokrit .
Firman Allah swt :
إن المنافقين يخادعون الله وهو خادعهم و إذا قاموا إلى الصلاة قاموا كسالى يراءون الناس و لا يذكرون الله إلا قليلا
Sesungguhnya golongan munafiqin , mereka mahu menipu Allah swt sedang Allah yang memperdayakan mereka dan apabila mereka mendirikan solat , mereka dirikan dalam keadaan malas , mereka menunjuk - nunjuk dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit .
4. Memang sukar untuk mengenali identiti golongan munafiq terutama mereka yang telah duduk sebaris dalam satu saff . Hanya Allah swt yang mengetahui siapakah mereka di tengah - tengah kelompok para pejuang di sebalik kibaran panji perjuangan . Secara zahir , tidak siapa yang dapat membezakannya . Bahasa harakinya sama seperti kita , mereka turut memakai uniform seorang pejuang . Bahkan mereka jua mampu membaca kitab perjuangan kita . Tiada perbedaan antara kita dengan mereka tetapi juga tiada persamaan . Hanya Allah swt jua Tuhan yang Maha Mengetahui di manakah perkara yang tidak sama antara pejuang Ansoorullah dengan petualang Munafiqin .
5. Secara asasnya , Al Quran dan sunnah telah manggariskan ciri - ciri atau kriteria untuk mengenali golongan munafiq ini . Antaranya :
a ] Berpaling dari melaksanakan hukum Allah [ an Nisa' : 60 - 61 ]
b ] Jahat adabnya terhadap Allah dan Rasul saw [ al Munafiqun : 5 / at Taubah : 61 ]
c ] Wala' [ kesetiaan ] mereka kepada musuh Allah swt [ al Hasyar : 11 ] d ] Negatif terhadap jihad [ Aali Imran : 167 ]
e ] Melakukan Mungkar dan menghalang perkara makruf [ at Taubah 67 ]
f ] Matlamat mereka ialah kepentingan mereka bukan redha Allah swt. [ al Hajj 11 ]
g ] Buruk akhlaknya terhadap anggota Gerakan Islam . [ al Ahzab 57 - 58 ]
6. Kepura - puraan mereka telah dijelaskan oleh Al quran dan ianya sangat mengelirukan . Nyata mereka bijak bersandiwara , petah berkata - kata , tajam berhujjah dan pintar membuat helah .
a ] Mereka melafazkan 2 kalimah syahadah [ al Munafiqun 1 ]
b ] Isytihar keiltizaman mereka terhadap Quran dan sunnah [ an Nisa' 81 ]
c ] Mereka juga mengerjakan solat [ an Nisa' 142 ]
d ] Mereka membaca alQuran [ al Bukhari bab Fadhail al Quran ]
e ] Bersedekah dan memberi derma [ at Taubah 54 ]
f ] Turut menghadhiri majlis Ilmu [ Muhammad 16 ]
g ] Membina masjid [ at Taubah 107 ]
7. Menyedari situasi ini , kita tidak boleh memandang ringan akan kehadhiran golongan munafiq . Mereka pada bila - bila masa akan memberi ancaman besar kepada perjuangan yang kita dokongan ini lantaran mereka berkeupayaan menyerang dari dalam secara halus tanpa disedari oleh sesiapa . Langkah berwaspada mesti diambil dan bertindak secara berpasukan adalah kewajipan . Pelihara segala adab berjamaah dan senantiasa bermunajat serta melazimi doa rabitah insyaallah , kita dan jamaah kita akan selamat .
8. Menghalang kewujudan golongan munafiqin ini terlalu sukar sebab terkadang ia lahir dari kalangan kita sendiri yang mewarisi sifat dan sikap mereka . Langkah yang perlu ialah mempertingkatkan proses pembinaan aqidah , fikrah dan syakhsiah disamping mengawal jamaah dari anasir munafiqin ini melalui pemerkasaan amal tarbawi.
9. Perjuangan Islam ini suci dan ia tetap akan dipelihara oleh Allah swt namun perlu ada kesungguhan dari setiap pimpinan dan anggota agar memastikan jamaah ini tidak menjadi sarang golongan munafiqin untuk mereka bermaharajalela melaksanakan agenda mereka .
10. Sudah cukup kejayaan mereka tatkala mereka berjaya menuetralkan semangat perjuangan Islam di kalangan anggotanya . Apa yang mereka mahu ialah melunturkan semangat jihad , mencetus kekeliruan dikalangan pimpinan jamaah , beriman dengan demokrasi dan membunuh konsep syura . Meleraikan ruh kepimpinan ulama' dan mengadu domba agar wujud pertelingkahan dan persengketaan yang panjang dari kalangan anggota dan pimpinan jamaah .
Sunday, January 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment