Segala puji bagi Allah serta salawat dan salam buat imamul muttaqin, panglima para mujahidin, junjungan kita Muhammad s.a.w, seorang Nabi yang amanah serta buat kaum keluarganya, para sahabatnya dan mereka yang mengikut pimpinan mereka hingga ke hari kiamat.
Ini adalah perutusan saya kepada para mujahid di kalangan Ikhwan al-Muslimin. Mereka yang meyakini kemuliaan dakwah mereka serta kesucian gagasan mereka. Mereka yang mempunyai tekad yang suci untuk hidup bersama dan mati di jalannya. Khusus buat mereka ini saya tujukan tulisan yang ringkas ini. Tulisan ini bukanlah pelajaran yang perlu dihafal tetapi ia adalah taklimat yang perlu dilaksanakan. Ayuh ke medan amal, wahai saudara yang jujur.
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. (Al-Taubah: 105)
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-An‘am: 153)
Buat yang lain selain daripada mereka ini ada pengajian, ceramah, buku dan artikel, gaya dan kaedah yang khusus untuk mereka. Setiap umat ada arah yang dituju. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan. Semuanya dijanjikan Allah kebaikan.
Salam serta rahmat dan keberkatan Allah untuk kamu semua.
Hasan al-Banna
Saudara yang jujur
Rukun baiah kamu ada sepuluh, hayati dan hafallah:
1. Faham.
2. Ikhlas.
3. Amal.
4. Jihad.
5. Berkorban ( Tadhiyah ).
6. Taat.
7. Thabat .
8. Tajarrud .
9. Bersaudara ( Ukhuwwah ).
10. Thiqah .
Wahai Saudara Yang Jujur,
1. Faham
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Faham:
Faham yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya berlandaskan Islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami faham, dalam skop dua puluh usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini:
1. Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.
2. Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk memahami hukum-hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab tanpa mengada-adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami melalui ahli hadis yang dipercayai.
3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke dalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama.
4. Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang ma'thur.
5. Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut mempunyai pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan umum) boleh dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat ini mungkin berubah mengikut keadaan, budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat ialah pengabdian ( ta'abbud ) tanpa perlu melihat kepada maksud. Sementara dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab, hikmah dan maksud.
6. Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka.Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan..
7. Setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu' hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.
8. Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah untuk membuat kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang dipertikaikan selagimana ia dilakukan dalam suasana penuh kemesraan dan saling bekerjasama untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub.
9. Setiap masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini termasuklah tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji maksud ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang mengenai kemuliaan seorang sahabat berbanding sahabat yang lain dan persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap sahabat ada kelebihan mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala bergantung kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan.
10. Mengenali, mengesakan dan mensucikan Allah Taala adalah akidah Islam yang paling suci. Semua ayat dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat Allah dan apa sahaja yang berkenaan dengannya kita yakini sepertimana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan mengikut kehendak kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan diri kita dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.
Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami. (Aali Imran: 7)
11. Setiap amalan bid‘ah yang dimasukkan ke dalam agama Allah dan tidak berasas (diamalkan oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada mereka menokok tambah atau mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi serta dihapuskan dengan cara yang terbaik dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk.
12. Bid‘ah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam dengan mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari sudut fikah. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak salah untuk mencari kebenaran dengan berpandukan dalil dan bukti.
13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah:
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (Yunus: 63)
Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun perlu diyakini mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain.
14. Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan oleh sunnah. Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun mereka atau menyeru nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari dekat atau jauh atau bernazar untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau menyelimutkan kubur atau memasang lampu di kubur atau menyentuh dan mengucup kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain daripada nama Allah atau apa sahaja bid‘ah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang perlu diperangi. Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul perkara yang lebih buruk.
15. Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.
16. Adat sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah apa yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan dilaksanakan menurut erti istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan istilah perlu dielak dalam seluruh aspek dunia dan agama. Perkara yang diambil kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh nama tersebut.
17. Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah tuntutan syarak walaupun wujud perbezaan pada sejauhmana ia dituntut.
18. Islam membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang baik dan bermanfaat.
“Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.”
19. Ada pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan syarak tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak dipastikan oleh akal atau oleh syarak, ia perlu disesuaikan supaya bertepatan dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat dipastikan oleh syarak dan oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat membuktikan kebenarannya atau sebaliknya.
20. Kita tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu -sama ada mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika dia mengeluarkan ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang menjadi asas agama atau tidak mempercayai kenyataan al-Quran yang jelas, atau mentafsir al-Quran menurut cara yang tidak bertepatan sama sekali dengan gaya bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh diandaikan kecuali sebagai kufur.
Setelah seorang muslim memahami agamanya berpandukan asas ini barulah dia memahami apa yang sering dilaungkannya:
“Al-Quran adalah perlembagaan kami dan rasul adalah ikutan kami.”
2. Ikhlas
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Ikhlas:
Ikhlas ialah saudara muslim itu meniatkan setiap kata, tindakan dan jihad yang dilakukan hanya untuk Allah, mencari keredaan dan ganjaranNya tanpa mengharapkan harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Ini bermakna dia merupakan pejuang fikrah dan akidah bukan memperjuangkan matlamat dan kepentingan peribadi.
Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan. (Al-An‘am: 162-163)
Dengan ini saudara muslim akan memahami maksud apa yang sering dilaungkannya:
“Allah matlamat kami” dan “Allah Maha besar dan segala puji bagi Allah”.
3. Amal (Kerja)
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Amal:
Amal ialah hasil yang diperolehi daripada ilmu dan ikhlas.
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. (Al-Taubah: 105)
Peringkat kerja yang perlu dilakukan oleh saudara yang jujur ialah:
1. Memperbaiki diri sendiri sehingga dia memiliki tubuh yang kuat, akhlak yang mantap, berpendidikan, mampu berdikari, akidah yang sejahtera, ibadah yang betul, bermujahadah melawan diri, menjaga masa, segala urusannya tersusun dan berguna kepada orang lain. Semua ini wajib bagi saudara semua.
2. Pembinaan keluarga muslim. Mendidik ahli keluarganya supaya menghormati gagasannya. Memelihara setiap adab Islam dalam setiap sudut hidup berumahtangga. Teliti ketika memilih isteri. Didik isteri tentang hak dan tanggungjawabnya. Didik anak dan pengasuh dengan baik dan besarkan mereka berdasarkan prinsip Islam. Ini juga wajib bagi saudara semua.
3. Membimbing masyarakat dengan cara mengembangkan aspek yang baik dalam masyarakat. Menghapuskan segala amalan yang tidak baik di samping menggalakkan amalan yang baik. Menyuruh masyarakat melakukan perkara yang baik. Bertindak segera melakukan kebajikan. Menagih sokongan masyarakat supaya berpihak kepada gagasan Islam. Sentiasa berusaha menyemai budaya masyarakat menurut budaya Islam. Semua ini wajib dilakukan oleh saudara semua dan oleh jamaah sebagai badan pelaksana.
4. Membebaskan tanahair dengan cara mengusir kuasa asing (bukan Islam) daripada menguasai aspek politik atau ekonomi atau moral.
5. Memulihkan kerajaan supaya benar-benar bercirikan Islam. Dengan itu kerajaan ini akan menjalankan peranannya sebagai khadam kepada rakyat atau orang upahan rakyat dan bekerja demi kepentingan rakyat. Kerajaan Islam ialah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam dan melaksanakan segala fardhu Islam dengan tidak berterus terang melanggar perintah Islam. Kerajaan ini sebagai pelaksana hukum dan ajaran Islam.
Namun tidak salah jika kerajaan ini meminta bantuan orang bukan Islam ketika keadaan terdesak tetapi bukan untuk melantik mereka sebagai pemimpin. Kerajaan ini tidak perlu terikat kepada bentuk atau jenis tertentu. Apa yang penting ia mesti bertepatan dengan dasar pemerintahan Islam.
Sifat-sifat kerajaan ini ialah peka dengan tanggungjawab, prihatin dengan nasib rakyat, bertindak adil kepada semua, menjaga harta negara dan berjimat ketika menggunakannya.
Tanggungjawab kerajaan ini ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, memberikan pendidikan kepada rakyat, membina kekuatan negara, menjaga mutu kesihatan, memelihara kepentingan rakyat, membangunkan sumber negara, menjaga keselamatan sumber negara, memantapkan akhlak rakyat dan mengembangkan dakwah.
Hak kerajaan (setelah menunaikan tanggungjawabnya) ini ialah rakyat perlu memberikan kesetiaan dan ketaatan. Kerajaan ini perlu dibantu dengan nyawa dan harta.
Jika kerajaan ini cuai, ia perlu dinasihat dan ditunjuk ajar. Jika tidak ia perlu dipecat dan disingkir. Tidak dibenarkan mentaati makhluk untuk menderhakai Allah.
6. Mewujudkan kembali sebuah negara untuk umat Islam dengan cara memerdekakan semua tanahair umat Islam, menghidupkan semula sejarah kegemilangan mereka, merapatkan jurang budaya mereka dan menyatukan suara mereka sehinggalah muncul kembali khilafah Islam yang telah lama lenyap dan lahir semula perpaduan umat Islam yang dicitakan.
7. Menjadi tonggak dunia ( ustaziatul ‘alam ) dengan cara menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia.
Sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. (Al-Anfal: 39)
Sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya. (Al-Taubah: 32)
Empat peringkat yang terakhir ini wajib dilaksanakan oleh sebuah jamaah dan oleh setiap saudara dengan kedudukan mereka sebagai anggota jamaah. Betapa beratnya tanggungjawab ini dan betapa besarnya peranan ini. Manusia akan melihat semua ini suatu khayalan namun saudara muslim melihatnya sebagai suatu kenyataan. Kita tidak akan berputus asa dan tetap menaruh harapan yang tinggi kepada Allah.
Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf: 21)
4. Jihad
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Jihad:
Jihad adalah satu kefardhuan yang akan terus diwajibkan sehingga hari kiamat. Selain itu jihad juga ialah apa yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w.:
“Orang yang mati tetapi tidak pernah berperang atau tidak pernah berniat untuk berperang dia mati dalam keadaan jahiliyah.”
Tahap pertama jihad ialah mengengkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah perang di jalan Allah. Di antara dua tahap tadi ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam. Dakwah ini tidak akan bererti tanpa jihad. Sehebat mana dan seluas mana dakwah ini sehebat itulah juga jihad yang diperlukan dan sebesar itu jugalah pengorbanan yang diperlukan untuk menyokong dakwah ini. Namun ganjarannya juga besar untuk mereka yang berusaha.
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. (Al-Haj: 78)
Dengan ini barulah anda faham apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan: “Jihad adalah jalan kami.”
5. Berkorban (Tadhiyyah)
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Berkorban:
Berkorban ialah menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik. Sesiapa yang tidak mahu berkorban bersama kita dia akan menanggung dosa.
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka. (Al-Taubah: 111)
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu… (Al-Taubah: 24)
Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah.. (Al-Taubah: 120)
Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik. (Al-Fath: 16)
Dengan ini anda memahami apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan:
“Mati di jalan Allah adalah cita-cita utama kami.”
6. Taat
Apa yang saya maksudkan dengan taat:
Taat ialah akur kepada perintah dan melaksanakan secara sepontan dalam keadaan sukar atau senang, rela atau terpaksa. Ini adalah kerana fasa dakwah ini ada tiga:
Pengenalan (Takrif)
Fasa ini dilaksanakan dengan menyebarkan fikrah Islam kepada masyarakat. Dalam fasa ini dakwah disusun melalui pertubuhan. Peranannya ialah bekerja untuk kebajikan masyarakat. Wahana atau wasilah yang digunakan adakalanya dalam bentuk nasihat dan tunjuk ajar, adakalanya dalam bentuk membina prasarana yang berguna untuk masyarakat dan pelbagai lagi wasilah yang praktikal. Semua cawangan Ikhwan yang wujud pada hari ini berada dalam fasa dakwah ini. Semuanya disusun oleh satu undang-undang asas yang dihuraikan oleh risalah-risalah dan akhbar-akhbar Ikhwan. Dakwah dalam fasa ini bersifat umum.
Dalam fasa ini, jamaah berhubung dengan sesiapa sahaja yang mahu mengambil bahagian dalam kerja-kerja jamaah serta bersedia berjanji memelihara dasar-dasar jamaah. Dalam fasa ini ketaatan penuh tidak diperlukan. Cukup sekadar ia menghormati sistem dan dasar am jamaah.
Pembinaan (Takwin)
Memilih individu-individu yang sesuai untuk memikul tanggungjawab jihad dan mereka kemudiannya digabungkan dalam saf. Dalam fasa ini, dakwah disusun menggunakan kaedah sufi sepenuhnya dalam sudut rohani dan menggunakan kaedah ketenteraan sepenuhnya dalam sudut amali. Slogan bagi kedua-dua sudut ini ialah “perintah dan taat” tanpa ada rasa teragak-agak, bersoal jawab, ragu-ragu dan keberatan. Katibah-katibah Ikhwan merupakan pelaksana kepada fasa dakwah ini. Sebelum ini katibah ini disusun menurut Risalah al-Manhaj dan sekarang risalah ini.
Dakwah dalam fasa ini adalah bersifat khusus. Dakwah hanya berhubung dengan orang yang sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab jihad yang akan berlangsung dalam tempoh yang lama dan menuntut pelbagai tanggungjawab. Tanda pertama kesediaan ini ialah “ketaatan mutlak”.
Pelaksanaan (Tanfiz)
Dakwah dalam fasa ini adalah jihad tanpa kompromi, kerja yang berterusan ke arah mencapai matlamat, ujian dan cubaan yang akan hanya ditempuh dengan sabar oleh mereka yang jujur. Kejayaan dalam fasa ini hanya akan diperolehi melalui “ketaatan mutlak”. Barisan Ikhwan al-Muslimin yang pertama memberikan baiah ialah pada 5 Rabiul Awal 1359.
Apabila anda bergabung dalam katibah ini dan menerima risalah ini serta berikrar dengan baiah ini anda telah berada di tahap kedua dan hampir dengan tahap ketiga. Oleh itu nilailah tanggungjawab yang anda laksanakan. Siapkanlah diri anda untuk memenuhi tanggungjawab ini.
7. Tabah ( Thabat )
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Tabah;
Tabah bermakna seorang akh terus menerus bekerja dan berjihad untuk mencapai matlamat walau sejauhmana tempoh yang ditempuh dan memakan masa bertahun-tahun lamanya, sehingga dia bertemu dengan Allah. Dia akan memperolehi dua kejayaan, sama ada dia mencapai matlamatnya atau dia mencapai syahid di akhir nanti.
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Al-Ahzab: 23)
Bagi kita, masa adalah salah satu penyelesai masalah. Jalan ini memang jauh apatah lagi apabila ia terpaksa melalui pelbagai peringkat dan pelbagai rintangan. Namun demikian ini sahaja jalan yang mampu membawa kita kepada destinasi kita. Ditambah pula dengan ganjaran dan pahalanya yang besar.
Ini kerana kesemua enam wasilah atau wahana kita memerlukan kita membuat persediaan yang rapi, menunggu masa yang sesuai dan merancang pelaksanaan yang teliti. Semua ini bergantung kepada masa.
Mereka bertanya secara mengejek: Bila berlakunya? Katakanlah: Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi! (Al-Isra': 51)
8. Jatidiri ( Tajarrud )
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Jatidiri
Jatidiri ialah anda memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fikrah atau gagasan anda dan anda ketepikan semua prinsip dan tokoh lain selain daripada gagasan anda kerana gagasan anda adalah yang paling mulia, paling lengkap dan paling tinggi.
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Al-Baqarah: 138)
Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata. (Al-Mumtahanah: 4)
Bagi saudara yang jujur, manusia terbahagi kepada enam kumpulan:
1. Muslim yang berjihad.
2. Muslim yang berdiam diri.
3. Muslim yang melakukan dosa.
4. Ahli zimmi yang membuat perjanjian.
5. Manusia yang berkecuali.
6. Manusia yang memusuhi.
Bagi setiap kumpulan ini ada hukum yang tersendiri menurut neraca Islam. Pengkelasan ini akan menjadi landasan dalam menilai individu ataupun pertubuhan, sahabat ataupun lawan.
9. Persaudaraan (Ukhuwwah)
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Persaudaraan;
Persaudaraan itu ialah hati-hati dan roh-roh dihubungkan dengan ikatan akidah. Akidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain.
Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr: 9)
Saudara yang jujur akan merasakan saudara-saudaranya lebih utama dari dirinya sendiri kerana segala hidupnya bersama mereka. Sedangkan mereka, jika tidak bersamanya akan bersama dengan orang lain. Serigala akan hanya menerkam kambing yang bersendirian. Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain umpama bangunan yang saling kuat memperkuat antara satu sama lain.
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. (Al-Taubah: 71)
Inilah yang sepatutnya kita lakukan.
10. Percaya (Thiqah)
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Thiqah;
Seorang tentera menaruh kepercayaan penuh kepada kewibawaan dan keikhlasan pemimpin hingga ke tahap lahir rasa kasih, menyanjung tinggi, hormat dan taat.
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Al-Nisa': 65)
Pimpinan adalah sebahagian daripada dakwah. Dakwah pula tidak akan wujud tanpa pimpinan. Sejauhmana wujud hubungan saling percaya-mempercayai antara pimpinan dan tentera ini akan menentukan kekuatan sistem sesebuah jamaah, kekemasan strateginya, kejayaannya untuk mencapai matlamat dan sejauhmana ia mampu mengatasi segala rintangan dan cabaran.
Maka kebinasaanlah lebih hampir kepada mereka. (Mereka selalu berkata: Pendirian kami) mematuhi perintah dan memperkatakan perkataan yang baik (yang diredhai Allah) (Muhammad: 20-21)
Dalam dakwah Ikhwan, seorang pemimpin ibarat seorang ayah dari segi hubungan hati, seorang guru dari segi penyaluran ilmu, seorang syeikh dari segi didikan rohani, seorang ketua dari segi menentukan dasar am dakwah. Dakwah kita menggabungkan semua elemen ini. Kepercayaan kepada pemimpin merupakan asas kepada kejayaan mana-mana gerakan. Oleh itu, setiap akh yang jujur perlu menyoal dirinya soalan-soalan berikut bagi mengetahui sejauhmana kepercayaannya kepada pimpinannya:
1. Adakah dia mengenali siapakah pemimpinnya sebelum ini dan telah mengkaji latar belakangnya?
2. Adakah dia yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya?
3. Adakah dia bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, di samping bersedia memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik?
4. Adakah dia bersedia untuk merasakan kemungkinan bahawa pendapatnya salah dan pendapat pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas syarak?
5. Adakah dia bersedia untuk meletakkan kehidupan hariannya di bawah telunjuk dakwah? Adakah pemimpin pada pandangannya berhak menentukan apa yang lebih penting antara kepentingan peribadinya dengan kepentingan dakwah?
Berdasarkan jawapan kepada soalan-soalan ini atau yang seumpama dengannya, seseorang akh akan meyakini sejauhmana hubungannya dengan pimpinan dan sejauhmana dia mempercayai kewibawaannya. Namun hati-hati manusia di tangan Allah dan Dia mentadbir hati-hati ini menurut kehendaknya.
Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal: 63)
Wahai Saudara yang jujur,
Keyakinan anda dengan baiah ini telah mewajibkan anda supaya menunaikan segala tanggungjawab berikut agar anda menjadi seketul bata yang kukuh dalam pembinaan ini:
1. Anda hendaklah mempunyai wirid harian, tidak kurang daripada satu juzuk al-Quran. Berusahalah supaya menghabiskannya tidak melebihi sebulan dan tidak kurang daripada tiga hari.
2. Anda hendaklah memperelokkan bacaan al-Quran anda atau mendengar dan mentadabbur maknanya. Anda hendaklah mempelajari sirah dan sejarah generasi silam mengikut kelapangan masa yang ada pada anda. Sekurang-kurangnya buku yang dibaca ialah, “ Humatul Islam ”. Anda hendaklah banyak membaca hadis Rasulullah s.a.w. dan hafallah sekurang-kurangnya empat puluh hadis, terutama hadis empat puluh Imam Nawawi. Anda hendaklah mempelajari buku-buku tentang asas akidah dan cabang fikah.
3. Anda hendaklah melakukan pemeriksaan perubatan yang menyeluruh dan berusaha merawat segala penyakit yang ada pada diri anda. Anda hendaklah mengambil berat aspek kekuatan dan penjagaan badan serta jauhkanlah daripada segala punca yang melemahkan tubuh badan.
4. Anda hendaklah menjauhkan tabiat mengambil minuman kopi, teh atau minuman perangsang secara berlebihan. Janganlah anda minum minuman seperti ini kecuali jika perlu dan jauhi sama sekali tabiat merokok.
5. Anda hendaklah mengambil berat soal kebersihan dalam semua keadaan, kediaman, pakaian, makanan, tubuh badan dan tempat kerja. Kebersihan adalah teras agama ini.
6. Anda hendaklah sentiasa bercakap benar dan tidak akan sekali-kali menipu.
7. Anda hendaklah bersikap amanah pada janji dan setiap percakapan. Janganlah anda mungkiri janji walau apa keadaan sekalipun.
8. Anda hendaklah bersikap berani dan bersemangat waja. Sikap berani yang paling baik ialah lantang menyatakan kebenaran, bersedia menyembunyikan rahsia, mengakui kesilapan, jujur dengan diri sendiri dan mengawal diri ketika marah.
9. Anda hendaklah bersikap serius dan sentiasa bersungguh-sungguh. Walau bagaimanapun sikap serius ini tidak bermakna anda mengenepikan senda gurau yang benar dan gelak ketawa.
10. Anda hendaklah bersikap pemalu dan sensitif, amat peka dengan perkara yang baik dan yang tidak baik. Gembira melihat yang baik dan sedih melihat yang tidak baik. Anda juga hendaklah bersikap merendah diri tetapi bukan menghina diri atau mengampu. Jika apa yang anda minta itu lebih rendah daripada kedudukan anda nescaya apa yang anda minta itu pasti akan tercapai.
11. Anda hendaklah bersikap adil dan mampu memberikan keputusan yang betul dalam semua keadaan. Janganlah kerana kemarahan anda melupakan kebaikan dan jangan juga anda melelapkan mata melihat keburukan. Janganlah kerana persengketaan, anda melupakan nilai-nilai murni. Nyatakanlah kebenaran walaupun kepada diri anda sendiri atau kepada orang yang paling hampir dengan anda, walaupun ia pahit.
12. Anda hendaklah bergiat cergas dan terlatih untuk berkhidmat kepada masyarakat. Anda perlu merasa seronok dan gembira jika anda mampu memberikan sesuatu khidmat kepada orang lain. Anda hendaklah melawat orang sakit, membantu mereka yang memerlukan bantuan, orang yang lemah dan orang yang ditimpa malapetaka walaupun sekadar mengucapkan kata-kata yang baik. Sentiasalah berusaha untuk melakukan kebaikan.
13. Anda hendaklah mempunyai hati yang penyayang, pemurah dan pemaaf, sedia memaafkan, melayan dengan baik dan bersabar dengan manusia dan haiwan. Anda hendaklah memberikan layan yang baik kepada semua manusia. Anda hendaklah memelihara adab-adab pergaulan dalam Islam. Dengan ini bermakna anda perlu mengasihi anak-anak kecil, menghormati orang tua, memberikan orang lain ruang untuk duduk dalam majlis. Janganlah anda mengintip, mengumpat dan mengangkat suara. Minta izinlah ketika ingin masuk dan keluar. Begitulah seterusnya.
14. Anda hendaklah berkemampuan untuk membaca dan menulis dengan baik. Perbanyakkanlah membaca tulisan-tulisan, akhbar, majalah atau sebagainya yang ditulis oleh Ikhwan. Anda sendiri hendaklah mempunyai sebuah perpustakaan walaupun kecil. Anda hendaklah meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran anda jika anda merupakan orang yang berkepakaran. Anda hendaklah menguasai keseluruhan permasalahan Islam secara mendalam sehingga anda mampu memahami dan memberikan jawapan yang tepat sesuai dengan kehendak fikrah anda.
15. Anda hendaklah menjalankan kerja-kerja ekonomi walaupun anda seorang yang kaya. Anda hendaklah berusaha untuk bekerja sendiri walaupun secara kecil-kecilan. Anda hendaklah tumpukan usaha anda dalam kerja tersebut walau setinggi mana sekalipun pencapaian akademik anda.
16. Elaklah jawatan dalam kerajaan dan anda hendaklah menjadikan jawatan dalam kerajaan ini sebagai pintu rezeki yang terakhir. Walau bagaimanapun janganlah anda menolak jika anda diberi peluang dan janganlah anda melepaskan jawatan tersebut kecuali jika jawatan tersebut bertentangan sama sekali dengan kewajipan dakwah anda.
17. Anda hendaklah bersungguh-sungguh menjalankan tugas anda dengan menjaga aspek kualiti, tekun, tidak korup dan hendaklah menepati janji.
18. Anda hendaklah menunaikan segala hak-hak anda dengan baik dan menunaikan segala hak orang lain tanpa perlu diminta dan tidak melewat-lewatkannya sama sekali.
19. Anda hendaklah menjauhi segala bentuk judi walau apa sekalipun tujuan di sebaliknya. Anda hendaklah menjauhi segala sumber rezeki yang haram walaupun ia memberikan keuntungan yang segera.
20. Anda hendaklah menjauhi semua urusan yang membabitkan riba dan bersihkanlah diri anda daripada segala unsur riba.
21. Anda hendaklah menggunakan kekayaan umat Islam dengan cara menggalakkan sektor perusahaan dan prasarana ekonomi Islam. Anda hendaklah memastikan tiada satu senpun wang anda yang jatuh ke tangan bukan Islam dalam apa keadaan sekalipun. Anda hendaklah hanya memakai dan memakan hasil buatan negara Islam.
22. Anda hendaklah memberikan sebahagian harta anda sebagai sumbangan kepada dakwah dan tunaikanlah zakat yang diwajibkan. Jadikanlah sejumlah harta anda sebagai sumbangan kepada orang yang memerlukan walau sekecil mana sekalipun pendapatan anda.
23. Anda hendaklah menyimpan sebahagian pendapatan anda walaupun sedikit untuk masa kecemasan. Janganlah anda terjerumus dalam kemewahan sama sekali.
24. Anda hendaklah berusaha sedaya upaya anda untuk menghidupkan budaya Islam dan menghapuskan budaya asing dalam setiap sudut hidup masyarakat. Budaya tersebut termasuklah cara mengucap salam, bahasa, sejarah, pakaian, perhiasan, waktu bekerja dan berehat, makan dan minum, waktu datang dan balik, waktu sedih dan gembira atau sebagainya. Berusahalah untuk mengamalkan sunnah dalam semua aspek tersebut.
25. Anda hendaklah memulaukan mahkamah tempatan dan semua undang-undang yang tidak Islamik. Anda juga perlu memulaukan semua kelab, akhbar, pertubuhan, sekolah dan badan yang bertentangan dengan fikrah Islam anda.
26. Anda hendaklah sentiasa merasai kehadiran Allah Taala, mengingati akhirat dan bersedia menghadapinya. Anda hendaklah melalui fasa bersuluk menuju keredaan Allah dengan penuh hemah dan azam yang tinggi. Anda hendaklah mendekatkan diri anda dengan Allah Taala dengan cara mendirikan ibadah sunat, antaranya sembahyang malam, puasa tiga hari setiap bulan sekurang-kurangnya, membanyakkan zikir dalam hati dan lidah, membaca doa yang disebutkan pada setiap masa.
27. Bersucilah dengan cara yang baik dan dalam banyak ketika cubalah berada dalam keadaan berwuduk.
28. Lakukanlah sembahyang dengan baik dan cubalah dirikan sembahyang pada waktunya. Berusahalah sedaya upaya untuk mendirikan sembahyang secara berjemaah di masjid.
29. Berpuasalah di bulan Ramadan dan kerjakanlah haji jika anda berkemampuan. Berusahalah jika boleh untuk merealisasikannya.
30. Anda hendaklah sentiasa semaikan niat untuk berjihad, cintakan mati syahid dan bersedia sedaya upaya anda untuk merealisasikannya.
31. Anda hendaklah sentiasa memperbaharui (***403) taubat dan memohon keampunan serta berwaspada supaya tidak melakukan dosa-dosa kecil apatah lagi dosa-dosa besar. Anda perlu peruntukkan sejumlah masa sebelum tidur untuk anda menilai apakah amalan baik dan tidak baik yang telah anda lakukan. Berusahalah menjaga masa kerana masa adalah hayat anda. Janganlah gunakan masa anda untuk sesuatu yang tidak berfaedah. Anda hendaklah bersifat warak terhadap perkara yang meragukan supaya anda tidak terjerumus melakukan perkara yang haram.
32. Anda hendaklah melawan diri anda dengan tegas supaya anda mampu memimpinnya. Anda perlu menutup pandangan mata anda, kawal emosi anda dan naluri semulajadi anda. Anda perlu sentiasa membawa diri anda hanya kepada yang dihalalkan. Anda perlu menjauhkan dirinya daripada perkara haram walau apa keadaan sekalipun.
33. Anda hendaklah menjauhi sama sekali semua minuman arak, minuman yang memabukkan dan yang mengkhayalkan walau apa jenisnya sekalipun.
34. Anda hendaklah menjauhi sahabat-handai yang tidak baik serta tempat-tempat yang penuh noda dan dosa.
35. Anda hendaklah menghapuskan tempat-tempat hiburan apatah lagi untuk mendekatinya. Jauhkanlah diri anda daripada segala gaya hidup yang mewah.
36. Anda hendaklah mengenali anggota katibah anda seorang demi seorang secara mendalam. Anda juga hendaklah memperkenalkan diri anda kepada mereka secara mendalam. Anda hendaklah menunaikan hak-hak persaudaraan mereka seperti kasih sayang, hormat, saling bantu-membantu dan sentiasa berikan mereka keutamaan. Anda hendaklah menghadiri perjumpaan bersama mereka dan janganlah anda menguzurkan diri kecuali kerana terpaksa. Anda perlu sentiasa berikan mereka keutamaan dalam setiap urusan anda.
37. Anda hendaklah menghentikan segala hubungan anda dengan mana-mana badan atau pertubuhan yang tidak membawa kepentingan kepada gagasan atau fikrah anda terutama apabila anda diminta untuk berbuat demikian.
38. Anda hendaklah berusaha untuk mengembangkan dakwah anda di mana jua dan memaklumkan kepada pimpinan anda setiap perkembangan anda. Jangan anda lakukan sesuatu yang boleh memberikan kesan yang besar kepada dakwah melainkan setelah anda terlebih dahulu meminta izin. Anda perlu sentiasa menjalin hubungan rohani dan amali dengan pimpinan. Anda hendaklah sentiasa merasakan anda adalah seorang tentera yang sedang berada dalam kem yang sentiasa menunggu arahan.
Wahai Saudara Yang Jujur,
Inilah dakwah anda secara ringkas. Inilah penjelasan ringkas tentang gagasan anda. Anda boleh simpulkan keseluruhan asas inidi dalam lima ayat:
Allah adalah matlamat kami.
Rasul adalah ikutan kami.
Al-Quran adalah panduan kami.
Jihad adalah jalan kami.
Mati syahid adalah cita-cita kami.
Anda juga mungkin boleh gabungkan gagasan ini dalam lima perkataan berikut:
Sederhana, membaca, sembahyang, ketenteraan dan akhlak.
Didiklah semua nilai-nilai ini ke dalam diri anda dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak ruang untuk berpeluk tubuh bagi orang yang malas dan tidak berpendirian sentiasa terbuka luas.
Saya yakin jika anda amalkan semua nilai ini dan anda jadikan nilai ini sebagai impian serta matlamat hidup, anda pasti akan beroleh kegemilangan di dunia dan kesenangan serta keredaan di akhirat. Di kala itu, anda menjadi sebahagian daripada kami dan kami menjadi sebahagian daripada anda. Namun jika anda menolak dan berpeluk tubuh tiada lagi hubungan di antara anda dan kami walaupun anda begitu menonjol dalam majlis kami atau anda menjawat jawatan yang tinggi di kalangan kami atau anda terkenal dengan penampilan yang hebat. Anda akan dihisab oleh Allah sekeras-kerasnya kerana sikap anda yang berpeluk tubuh. Buatlah pilihan dan kami memohon semoga kita semua beroleh hidayah dan taufik Allah.
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”
1.“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya.”
2.“Serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”Al-Saf: 10-11.
3.“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu.”
4.“Dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar.”
5. “Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah.”
6.“Dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (Al-Saf: 12-13)
Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibnu Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang. (Al-Saf: 14)
Semoga anda beroleh salam, rahmat dan keberkatan Allah.
Wednesday, April 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment