Sunday, March 15, 2009

KISAH PELIK TAPI BENAR...

Kisah dua orang yang pelik…


Pada zaman Rasulullah saw. masyarakat hidup dengan penuh aman, tenang dan bahagia di dalam sebuah kerajaan yang menjalankan undang-undang Islam berlandaskan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah swt. dalam Al-Quran. Rasulullah saw. sebagai ketua Negara Islam menegakkan syariat Allah sebagai perundangan tertinggi bagi sebuah Negara yang bebas dan merdeka.

Al-kisahnya pada masa tersebut ada seorang lelaki yang membeli tanah daripada seorang lelaki yang lain, setelah berlaku akad jual beli dan sudah berpuas hati maka masing-masing pun kembali ke rumah. Maka, pada keesokkan harinya si pembeli tanah pun bersiap-sedialah dengan segala kelengkapan untuk mengerjakan tanah yang baru dibelinya itu. Diapun dengan hati yang mekar gembira memulakan kerja-kerja untuk membersihkan tanah tersebut sebagai tempat semaian tanaman.

Sedang asyik mencangkul tanahnya itu, tiba-tiba cangkulnya terkena sesuatu yang keras. Pada mulanya ia menjangkakan yang dicangkulnya itu adalah batu, maka ia cuba mengeluarkan batu tersebut daripada tanah, tetapi tekaannya adalah melesat…apabila semakin digali dan dicangkulnya semakin besar batu yang disangkanya itu. Maka diapun teruskan menggali sehinggalah sesuatu yang mengejutkannya ditemui. Dia dapati sebenarnya bukanlah batu besar yang terdapat dalam tanah tersebut sebaliknya sebuah peti besi.

Dengan penuh kehairanan dan perasaan terperanjat diapun mengambus kembali tanah tersebut takut-takut dilihat oleh orang lain. Selepas itu dia seberapa segera bergegas berlari pergi mendapatkan tuan tanah yang baru dibelinya itu. Setelah menceritakan apa yang telah berlaku maka dia mengajak tuan tanah pergi melihat sendiri peti besi yang pada anggapannya adalah milik tuan tanah tersebut.

Setelah kedua-duanya sampai di tempat itu, maka merekapun sama-sama menggali peti besi itu. Setelah peti besi itu dinaikkan ke atas maka mereka pun membukanya. Alangkah terkejutnya mereka bila melihat di dalam peti besi itu penuh dengan harta karun daripada wang-wang emas, batu-batu permata, barang-barang kemas seperti rantai, gelang dan pelbagai jenis lagi. Lalu berlakulah dialog berikut diantara keduanya ;




Si Pembeli ; “Nampaknya harta karun ini milik saudara, maka saya kembalikan semuanya kepada saudara.”

Si penjual ; “ Tidak! harta ini bukan lagi milik saya. Bukankah saya telah jualkan tanah ini kepada saudara, harta ini dijumpai dalam tanah ini maka sekarang ini tentulah harta karun ini juga menjadi milik saudara.”

Si pembeli ; “ Oh saya rasa tidak begitu. Saya hanya membeli tanah daripada saudara, tidak termasuk harta karun ini. Barangkali tuan hambalah yang menanam harta ini, saudara sudah lupa barangkali.”

Si penjual ; “Oh tidak begitu. Bukankah saya telah menjual semua tanah ini kepada saudara. maka setelah kita bersetuju dan berpuas hati serta berlaku akad antara kita berdua, maka tentunya jual-beli itu termasuklah apa sahaja yang ada dalam tanah tersebut!

Si Pembeli ; “Oh tidak, harta ini milik tuan. Saya sama sekali tidak akan mengambilnya…walaupun harta ini banyak tetapi jika nak dibandingkan, saya lebih takut lagi pada azab Allah

Akhirnya kerana keduanya tidak mahu mengambil harta karun tersebut dan tetap berkeras dengan pendirian masing-masing, maka akhirnya mereka mengambil keputusan untuk membawa kes mereka ini kepada Rasulullah saw. sebagai Ketua Negara Islam Madinah.

Setelah keduanya mengadap Rasulullah saw. maka berceritalah mereka berdua apa yang telah berlaku dari awal sehingga akhir. Bila mendengarkan sahaja cerita mereka maka dengan tidak semena-mena Rasulullah saw mengalirkan air mata, mereka berdua menjadi hairan lalu bertanya kenapa baginda menangis setelah mengetahui apa yang berlaku antara mereka.

Akhirnya, suasana sepi itu berakhir bilamana kedengaran baginda saw. mengungkapkan sesuatu, kata baginda; “Ku merasa begitu terharu dengan apa yang berlaku kepada kamu berdua, tangisanku ialah tangisan kegembiraan…kerana Allah swt. mempertemukan aku dengan dua orang yang seamanahmu di dunia ini, dan juga kamu adalah buahan ranum yang terbit daripada pokok iman yang merupakan anugerah hasil melaksanakan tuntutan Allah swt. dengan menegakkan ‘Undang-undangnya’ di alam ini.





Akhirnya, setelah kedua-duanya masih tidak mahu menerima harta yang dijumpai tersebut, maka baginda dengan penuh kebijaksanaannya mengemukakan cadangan untuk menyerahkan sahaja harta itu kepada ‘Baitul Mal’ iaitu sebuah institusi kewangan terpenting bagi sesebuah Negara Islam. Maka keduanya dengan penuh berlapang dada menerima cadangan bernas daripada Rasulullah saw. tersebut.

Begitulah sebuah catatan kisah yang hebat lagi luarbiasa berkenaan sifat dan sikap ummah terdahulu. Soalnya sekarang, masih adakah lagi umat Nabi Muhammad saw yang seamanah kedua lelaki ini? Yang kedua, kita dapati kisah itu membuktikan bilamana manusia menjalankan segala kewajipan seperti melaksanakan segala peraturan dan hukum Allah swt. maka sebagaimana janji Allah swt. “Nakalan minaLLah” iaitu Allah sendiri memberi jaminan untuk mengawal manusia.

No comments:

Post a Comment